Tempatan

Manfaatkan Peluang Yang Masih Ada Di Bulan Ramadan Ini – Tengku Hassanal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BENTONG, 24 April 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar peluang yang masih ada dalam bulan Ramadan ini dimanfaatkan sebaiknya dengan menambah amal ibadat di surau dan masjid berdekatan.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa agar memanfaat peluang pada bulan Ramadan ini. Bawalah anak-anak ke masjid bagi menunaikan solat jemaah, bertarawih dan gandakanlah amal ibadat kita lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir Ramadan ini,” titah baginda.

Baginda turut bertitah mengenai pelbagai bentuk manfaat yang ada di masjid. Jika pentadbiran masjid berjalan dengan lancar dan cekap, maka kewujudan sesebuah masjid dapat memberi kebaikan sepenuhnya kepada setiap insan yang hadir.

Baginda bertitah sedemikian dalam Majlis Perasmian Masjid Baru Bandar Karak yang dinamakan Masjid As-Salam dan juga majlis berbuka puasa.

Selain itu, baginda juga bertitah agar kekuatan umat Islam dalam muafakat dan penyatuan dapat mengelakkan permusuhan dan perpecahan yang merupakan punca kelemahan.

“Masjid amat sinonim sebagai pusat sehenti atau one stop centre kepada umat Islam pada zaman Rasulullah SAW. Masjid yang ditadbir urus dengan ilmu dan amal pasti mampu memupuk kesatuan umat Islam yang utuh.”

“Pihak masjid perlu melakukan jalinan usaha sama yang proaktif melibatkan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya segala perancangan keagamaan dapat dijayakan,” ujar baginda.

Dalam pada itu, baginda juga berkenan menyampaikan zakat asnaf kepada 110 orang dan menyampaikan kurniaan 10 buah komputer riba kepada asnaf.

Turut hadir, YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: