Antarabangsa

Perang Rusia-Ukraine Bermula

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

UKRAINE, 24 Februari 2022 – Presiden Rusia Vladimir Putin telah melancarkan perang terhadap Ukraine hari ini meskipun mendapat tentangan hebat daripada masyarakat dunia, lapor Kyiv Independent.

Tentera Rusia melepaskan peluru berpandu ke beberapa buah bandar Ukraine dan mendaratkan tentera mereka di pantai selatan negara itu tidak lama selepas Putin mengisytiharkan serangan menerusi perutusan khas melalui siaran televisyen lewat pagi tadi.

Putin melancarkan ‘operasi tentera’ sebelum jam 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) di Moscow dan berikrar akan menentang sesiapa sahaja yang campur tangan.

Kementerian Luar Ukraine memaklumkan Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap negara itu dan menyasarkan beberapa bandar dengan serangan senjata, termasuk letupan, tidak lama selepas pengumuman ‘operasi tentera’ dibuat.

“Putin baru sahaja melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine. Bandar Ukraine yang aman diserang,” kata Dmytro Kuleba, Menteri Luar Ukraine dalam Twitternya.

Tambahnya, “Ini adalah perang pencerobohan. Ukraine akan mempertahankan dirinya dan akan menang. Dunia boleh dan mesti menghentikan Putin. Masa untuk bertindak adalah sekarang.”

Dalam serangan terbaru, Rusia telah mengebom Lapangan Terbang Boryspil, aset tentera milik Ukraine.

Rusia telah melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama dalam serangan awal bermula lewat pagi tadi.

Serangan roket dilancarkan terhadap semua pangkalan tentera di seluruh negara itu dan tentera Russia sudah mendarat di bandar pelabuhan Odessa dan Mariupol di selatan.

Letupan turut dilaporkan di Kharkiv, sebuah bandar besar kira-kira 35 kilometer (km) ke selatan sempadan Russia.

Selain itu, empat letupan kuat dilaporkan di Kramatorsk, bandar pesisir pantai yang juga pusat pentadbiran kerajaan Ukraine di zon perang timur.

Berikutan serangan ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky terpaksa memperkenalkan undang-undang tentera.

Dalam ucapan sama yang disiarkan di dalam Facebooknya, beliau memaklumkan telah mengadakan panggilan telefon dengan Presiden AS Joe Biden.

“Amerika Syarikat sudah mula menyatukan sokongan antarabangsa,” ujarnya.

Pengisytiharan perang dibuat beberapa hari selepas Rusia mengiktiraf enklafnya di Wilayah Luhansk timur Ukraine dan Wilayah Donetsk sebagai negara merdeka pada 21 Februari.

Rusia telah menjajah wilayah di timur Ukraine dan semenanjung Crimea sejak 2014.

Dmytro Kuleba menegaskan bahawa mereka akan tetap bangkit melawan dan dunia perlu mengetahui penjajahan Rusia ke atas Ukraine.

“Kepada rakyat Ukraine di seluruh dunia:

Putin menyerang, tetapi tiada siapa yang melarikan diri. Tentera, diplomat, semua orang bekerja. Ukraine bangkit melawan. Ukraine akan mempertahankan dirinya. Ukraine akan menang.

“Kongsi kebenaran tentang pencerobohan Putin di negara anda dan minta kerajaan bertindak segera,” kata beliau.

Terdahulu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine untuk segera menghubungi Kedutaan Malaysia untuk segera membuat pendaftaran bagi memudahkan pemantauan perkembangan keselamatan mereka di saat negara-negara lain menggesa rakyatnya untuk melarikan diri dari Ukraine.

Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat (AS) pernah memberi amaran risiko ‘perang dunia’ sewaktu menggesa rakyatnya yang masih berada di Ukraine untuk segera meninggalkan negara berkenaan.

Kerajaan Britain, New Zealand, Jerman dan beberapa negara lain turut memberikan amaran sebelum ini supaya rakyat mereka segera meninggalkan Ukraine, susulan kemaraan tentera Rusia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: