Tempatan

KINRARA: Bina Sekolah Kebangsaan Kami Tiada Masalah, Bina Sekolah Vernakular Kami Bantah! – Pengerusi BERTINDAK

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUCHONG, 20 Jun 2023 – Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK) dan aktivis masyarakat, Haji Mohd Haron Al-Sidik menjelaskan pihaknya tidak ada bantahan jika Kerajaan Persekutuan bercadang membina dua sekolah rendah baharu di Kawasan DUN Kinrara di Puchong sebaliknya akan membantah jika dibina sekolah vernakular atau sekolah selain aliran kebangsaan.

Jelas beliau, memandangkan salah satu tapak baru Sekolah Kebangsaan (SK) ini dibuka di Bandar Kinrara BK5/11 dan memang tanah ini untuk pembinaan SK, maka tidak ada masalah dari pihaknya setakat ini.

Menurutnya, di Bandar Kinrara ini kita ada 3 tapak SK: Sebuah di BK5/11 yang dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), sebuah lagi di BK4/3 bersebelahan food court BK4 dan sebuah lagi di BK5B yang pernah dicerobohi oleh SJKC Too Joon Hing.

“Bagaimanapun, saya hairan juga kenapa mereka tidak mahu membinanya di tanah yang pernah dicerobohi ini. Ini mungkin selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mereka cuba untuk meneruskan pembinaan SJKC tersebut,” ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya turut memberi peringatan bahawa jika perkara yang dimaksudkan itu yang berlaku maka mereka akan membantah dengan tegas.

“Kami tidak akan bersetuju kerana macam saya cakap dulu di dalam radius 5 km dari tanah tersebut sudah ada 8 buah Sekolah Cina berbanding 3 buah Sekolah Kebangsaan dan 1 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).”

Tegasnya, ini tidak adil kepada penduduk-penduduk Bandar Kinrara. Sebaliknya, kami sangat perlukan sekurang-kurangnya 6 buah Sekolah Rendah Kebangsaan dan 3 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) lagi di kawasan ini bagi menampung kepadatan penduduk setempat.

“Untuk pengetahuan umum, sekolah-sekolah kebangsaan yang ada sekarang terlalu padat dan tidak mampu menampung murid-murid baru lagi,” ujar beliau.

Justeru, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah, ADUN Kinrara dan Ahli Parlimen Subang perlu turun padang, tengok situasi sebenar.

Tambah beliau, jika kita bina sekolah kebangsaan kita mampu berikan pendidikan kepada murid-murid dari pelbagai kaum. Jika dari awal kita ajar mereka bersekolah di bawah satu bumbung, maka dari situ jugalah kita dapat capai keharmonian kaum dan semangat perpaduan juga dapat dilatih dan diterapkan kepada mereka sejak masih kecil, bukannya membina sekolah vernakular yang akhirnya hanya akan lebih memisahkan dan menjarakkan hubungan pelbagai kaum sejak di bangku sekolah lagi.

Menurut Haji Haron, semangat perpaduan ini perlu dipupuk dan disemai di kalangan murid-murid ini sejak mereka masih kecil dan tempat yang paling sesuai dan berkesan adalah menjalinkan hubungan mereka di bawah satu bumbung sekolah yang sama dan dalam aliran yang sama iaitu aliran Kebangsaan.

“Bukan sahaja mereka dapat saling mengenali antara satu sama lain bahkan mereka akan menjadi rapat dan saling memahami dan perkara ini juga adalah sebahagian pembelajaran keperibadian yang baik dari segi sosial membentuk adab dan akhlak serta tatacara hidup bermasyarakat.”

Maka kelak, negara akan melahirkan sebuah masyarakat berbilang kaum yang penuh dengan sikap toleransi walaupun berbeza kaum dan agama. Inilah hasrat negara kita yang sebenarnya.

Tambah beliau lagi, sudah tentu perkara ini hanya dapat direalisasikan apabila tidak ada lagi perbezaan aliran dalam pembelajaran selain aliran Kebangsaan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tak hairanlah kelak yang tinggal hanyalah sebuah kesatuan semua kaum yang dapat memupuk semangat patriotik cintakan negara dan inilah juga antara hasrat dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperjuangkan semua rakyat negara ini terutamanya pihak kementerian sendiri dan sudah tentu ia perlu diterapkan ke dalam jiwa semua anak Malaysia sehingga nilai murni ini dapat diwariskan pula untuk generasi yang akan datang.

“Tidaklah nanti negara kita ini cuma dipenuhi dengan generasi baru yang hanya berupaya menjadi musuh dan pengkhianat kepada negara sendiri,” tegas beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: