Tempatan

Hati-Hati: Sindiket Godam Akaun Bank Guna Android TV Box

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2022 – Komisioner Polis, Dato’ Mohd Kamarudin bin Md Din menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat turun aplikasi dari sumber yang meragukan berikutan kewujudan taktik penipuan baharu menggunakan fail APK (Android Package Kit) yang membolehkan akaun bank mangsa digodam.

“Mangsa yang berminat seterusnya akan diminta untuk memuat turun fail APK (Android Package Kit) yang dihantar menggunakan aplikasi Whatsapp. Mangsa dikehendaki untuk memasang aplikasi tersebut di dalam peranti telefon pintar dan membuka akaun bagi membolehkan aplikasi tersebut digunakan,” ujar beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Khamis lalu.

Setakat ini, sebanyak lima laporan polis telah diterima membabitkan sindiket ini – tiga di Johor, satu di Pulau Pinang dan satu di Sabah yang mengakibatkan jumlah kerugian sebanyak RM58,844.00.

Dato’ Mohd Kamarudin berkata, hasil siasatan mendapati sindiket menggunakan platform media sosial Facebook bagi tujuan memerangkap mangsa dengan mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen berbayar.

Malah, sindiket tersebut sentiasa mengubah suai tawaran yang diberikan dan menawarkan barangan pada pakej harga istimewa atau lebih murah bagi memerangkap lebih ramai mangsa.

“Setelah dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia ada. Mangsa akan diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi itu.”

Setelah semua maklumat dimasukkan dan butang hantar ditekan, terdapat paparan kesilapan muka surat atau ‘page error’ yang menunjukkan aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

“Hakikatnya, aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat hanya semata-mata untuk mendapatkan akses kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudiannya akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” ujarnya.

Antara butiran yang diperlukan termasuklah nombor kad pengenalan, butiran akaun bank dan butiran kad kredit. Ia sekaligus mendedahkan maklumat perbankan mangsa kepada pihak sindiket yang akan menggunakan maklumat tersebut untuk menggodam dan memindahkan wang milik mangsa.

Siasatan terhadap kes ini masih dijalankan dan pihak polis sedang mengumpul bukti bagi menjejaki sindiket tersebut dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat. Sebagai langkah pencegahan, Dato’ Kamaruddin mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan jangan mudah percaya dengan iklan di media sosial selain mengelakkan menggunakan aplikasi APK dari sumber yang tidak sah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: