MQA Cadang Selaraskan Kursus Pengajian Di Semua IPT, Elak Bertindih
KUALA LUMPUR, xx Ogos 2024 – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mencadangkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk menyelaras kursus pengajian supaya tiada lagi jurusan sama atau bertindih ditawarkan, sekali gus dapat menangani isu kekurangan pelajar dan bebanan kos.
Syor itu membabitkan program pengajian yang ada persamaan atau bertindih antara universiti yang boleh diselaraskan dengan membenarkan pelajar menyertai kelas tertentu yang mempunyai subjek atau kursus pengajian sama di IPT lain.
Justeru, MQA merancang membentangkan cadangan itu kepada semua IPT tempatan dalam masa terdekat dengan tumpuan diberi kepada program pengajian sains sosial yang bukan di bawah akreditasi badan profesional.
Memperincikan cadangan kerjasama antara IPT itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata bagi tujuan berkenaan, pihaknya antara lain juga merancang memperkukuhkan lagi kaedah pemindahan kredit pengajian pelajar.
Kaedah itu, katanya, akan membolehkan pelajar IPT yang mengikuti kursus pengajian yang turut ditawarkan IPT lain, dibolehkan mengikuti kelas tertentu atau kursus terbabit di IPT kedua melalui satu bentuk kerjasama.
“MQA melihat langkah kerjasama ini penting kerana banyak program pengajian sama ada di IPT awam mahupun swasta di negara ini mempunyai persamaan antara satu lama lain,” katanya.
Mohammad Shatar menjelaskan, MQA mendapati banyak IPT menawarkan program pengajian yang mempunyai persamaan yang kadang kala berbeza pada nama, manakala kursus atau bidang pengajian ditawarkan sama sahaja.
“Melalui kerjasama dicadangkan, pelajar dari sebuah IPT boleh menyertai kelas bagi subjek atau kursus pengajian yang sama di IPT lain dan MQA akan beri akreditasi.”
“Contohnya, universiti A menawarkan 10 kursus pengajian, tetapi ada lima kursus sama ditawarkan di universiti B. Maka melalui kerjasama ini, universiti A boleh benarkan pelajar mereka ikuti kelas di universiti B secara pemindahan kredit sahaja,” katanya.
MQA diwujudkan pada 2007 hasil gabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti Kementerian Pengajian Tinggi (BJKKPT). Ia badan tunggal menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.