MP Belanda Ucap Syahadah Sewaktu Tulis Buku Untuk Hancurkan Islam
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
AMSTERDAM, 20 Oktober 2021 – Belanda digemparkan dengan pendedahan Joram van Klaveren, mantan Ahli Parlimen yang sebelum ini amat terkenal dengan kelantangannya menentang agama Islam, membuat keputusan untuk memeluk agama Islam.
Selama tujuh tahun Joram telah mengeluarkan beberapa siri kenyataan yang menyerang Islam dalam Dewan Rakyat, sesuai dengan kehendak Geert Wilders, pemimpin parti yang diwakili oleh beliau.
Geert Wilders merupakan tokoh politik yang mempunyai kebencian luar biasa terhadap agama Islam.
Joram setia berjuang melawan Islam bersama parti tersebut sebelum menubuhkan parti politik sendiri setelah mahkamah memutuskan Geert Wilders bersalah atas kesalahan diskriminasi terhadap umat Islam dari Morocco.
Antara perjuangan Joram adalah untuk menghapuskan menara-menara masjid dan mengharamkan pemakaian burqa di kalangan Muslimah, “Kami tidak mahu sebarang bentuk agama Islam, atau sekurang-kurangnya `wujud cuma dalam kuantiti yang paling kecil di Belanda,” tegas beliau.
Kebencian dan keinginannya yang meluap-luap untuk menyerang Islam telah mendorong beliau untuk menulis sebuah buku bagi menyerang aqidah pegangan umat Islam.
Beliau menghabiskan banyak masa dan tenaga membuat kajian terperinci mengenai agama Islam bagi mencari bahan untuk didokumentasikan sebagai peluru serangan terhadap agama itu.
Hidayah petunjuk adalah milik Allah. Hasil dapatan kajian yang dilakukannya, menjadi asbab untuk membuka hati tokoh politik yang berusia 40 tahun itu untuk menerima hidayah Islam.
Akhirnya, buku yang kononnya mahu dijadikan senjata menghancurkan agama Islam itu, menjadi sumber inspirasi bagi dirinya untuk memilih mengucapkan kalimah syahadah.
Menurut Joram, buku itu sendiri “menjadi hujah terhadap bantahan-bantahan yang dimiliki oleh bukan Islam” ke atas agama itu.
Beliau memeluk agama Islam pada 26 Oktober 2018, semasa beliau masih lagi menulis buku tersebut yang diberi judul, “Apostate: From Christianity to Islam in the Time of Secular Terror.”