MOT Kaji Kenaikan Tambang Bas Sekolah
MELAKA, 16 Januari 2024 – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji beberapa cadangan daripada persatuan bas sekolah dan operator berkaitan kadar kenaikan tambang bagi sesi persekolahan penggal baharu, Mac ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah, setakat ini MOT tidak mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan mana-mana persatuan atau operator bas sekolah.
“Yang sebenarnya kita masih dalam kajian sebab semuanya mempunyai impak terutamanya ibu bapa.”
“Jadi kita belum keluarkan apa-apa keputusan tentang (kenaikan), cadangan itu macam-macam ada tapi ia masih dikaji lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Tiang Dua, pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka naik susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera yang didakwa meningkat sehingga 80 peratus.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat dilaporkan berkata, kenaikan tambang itu dijangka dibuat berdasarkan kawasan dan kos operasi memandangkan kerajaan tidak lagi mengawal kadar pengangkutan tersebut dan ia ditentukan mengikut pasaran sejak Januari 2015.