Monsun Timur Laut Bermula Bulan Depan
KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2023 – Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November ini dan berakhir pada Mac tahun depan, kata Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Ambun Dindang.
Menurutnya, fenomena MTL ini akan menyebabkan negeri-negeri pantai timur mengalami hujan lebat sehingga Disember ini, manakala menjelang Disember sehingga Januari 2024 episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor dan Sarawak.
“Sekiranya luruan monsun adalah kuat atau wujud sistem cuaca tekanan rendah di rantau negara, hujan monsun adalah menyeluruh dan musim lembap akan berpanjangan. Hujan lembap berterusan berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan kerap banjir.”
“Risiko banjir meningkat sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.”
Tambahnya lagi, pada penghujung monsun, Sabah dijangkakan mengalami taburan hujan yang kurang bermula November sehingga Januari. Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu dijangka akan kurang menerima hujan bermula Februari sehingga Mac 2024.
“Susulan itu, cuaca kering dijangka bermula pada Mac hadapan berpotensi menyebabkan gelombang haba akibat fenomena El-Nino,” jelasnya ketika menjadi ahli panel di Webinar Waspada El Nino Hadapi Monsun Timur Laut sempena Forum Iklim Kebangsaan 2023.
Forum METMalaysia itu dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip sebagai moderator dan serta dua lagi ahli panel iaitu Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dr Norlida Mohd Dom serta Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Nazaruddin Sharaai.