Antarabangsa

Monkeypox: UK Tawar Vaksin Kepada Homoseksual

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

UNITED KINGDOM, 23 JUN 2022 – Para pegawai kesihatan British akan mula menawarkan vaksin kepada beberapa lelaki yang mengamalkan hubungan seks sesama jantina yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan monkeypox. Ini merupakan sebuah usaha kerajaan dalam membasmi penularan jangkitan tersebut.

Agensi Sekuriti Kesihatan Britain dalam satu kenyataannya pada hari Selasa memaklumkan bahawa para doktor boleh mempertimbangkan pemberian vaksin kepada beberapa lelaki yang mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti virus monkeypox.

Menurut agensi tersebut, golongan yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan monkeypox adalah lelaki yang mengamalkan hubungan seks sesama jenis dan mempunyai ramai pasangan, lelaki yang terlibat dalam seks berkumpulan atau yang berada di premis di mana hubungan seks berlaku di situ.

Mei lalu, mantan ketua bahagian kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr David Heymann memaklumkan bahawa kemungkinan besar jangkitan monkeypox yang berlaku di luar Afrika adalah disebabkan aktiviti seksual oleh golongan lelaki di parti-parti tarian di Sepanyol dan Belgium.

Ketua Bahagian Imunisasi Agensi Sekuriti Kesihatan Britain, Dr Mary Ramsay mengatakan bahawa dengan usaha untuk menyebarluaskan tawaran vaksin terhadap mereka yang berisiko tinggi, mereka berharap ianya dapat memutuskan rangkaian jangkitan dan seterusnya mengatasi penularan virus tersebut.

Data terkini menunjukkan 99% daripada kes jangkitan monkeypox di UK adalah di kalangan lelaki. Majoriti daripada kes tersebut adalah daripada kalangan golongan lelaki yang gay, biseksual atau berhubungan seksual sesama jantina.

Namun, para saintis memberi amaran supaya setiap individu, walaupun apa jua orientasi seksual mereka, jika mempunyai hubungan rapat atau sentuhan fizikal dengan mana-mana individu yang dijangkiti monkeypox, juga berisiko mendapat jangkitan.

Sehingga bulan Mei, virus ini hanya menular di sekitar Afrika tengah dan Afrika barat yang mana ianya telah merekodkan 1,500 kes. Namun, vaksin tidak pernah digunakan di Afrika dalam usaha mengawal penularan jangkitan virus monkeypox.

Leave a Reply

Back to top button