Antarabangsa

Monkeypox, Apa Yang Perlu Kita Tahu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TiktokYoutubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Apa itu Monkeypox?

Monkeypox merupakan satu bentuk virus dari jenis zoonosis, iaitu virus yang disebarkan melalui haiwan kepada manusia. Hos bagi virus ini biasanya adalah dari spesis tikus dan haiwan-haiwan primat lain. Simptom bagi virus monkeypox ini adalah sama seperti penyakit cacar (smallpox), antaranya ialah kulit pesakit akan mula melepuh dan luka pada bahagian kulit. Pada masa kini, kadar nisbah kematian yang boleh berlaku disebabkan virus ini adalah sekitar 3-6 peratus.

Apakah punca bagi virus Monkeypox?

Setakat ini, masih belum ada penemuan yang tetap berkenaan asal-usul virus ini. Pelbagai spesis haiwan telah dikenal pasti mudah terdedah dengan virus monkeypox. Ini termasuklah beberapa spesis tupai, beberapa spesis tikus serta lain-lain haiwan primat. Jangkitan sesama manusia boleh berlaku melalui rembesan cecair atau lendir yang keluar melalui saluran pernafasan. Selain itu, jangkitan juga boleh terjadi melalui luka pada kulit oleh orang yang telah dijangkiti atau objek yang tercemar.

BACA: Genosid Kaum India Di Malaysia? Jangan Menipu!!! – Zamri Vinoth

BACA: Mahkamah Tinggi India Perintah Muslimah Tanggal Tudung Untuk Dapatkan Pendidikan

BACA: Pembunuhan Umat Islam Dan Kristian Di India Satu Agenda Terancang – Ahmad Iqram Mohamad Noor

Apakah gejala bagi Monkeypox?

Jangkitan virus ini berserta simptomnya boleh berlaku dari 2 ke 4 minggu. Individu yang dijangkiti pada mulanya akan mengalami demam, sakit kepala yang kuat, sakit belakang, sakit otot, lemah badan serta bengkak di bahagian kelenjar. Gangguan pada kulit pula akan berlaku pada hari pertama atau ketiga setelah muncul demam. Ruam yang terjadi akan menyebabkan luka beserta nanah. Ruam biasanya terjadi pada bahagian muka, tapak tangan, tapak kaki, sekitar bahagian mulut, mata serta alat sulit.

Bagaimana kita dapat mencegah Monkeypox?

• Elakkan diri dari haiwan yang mungkin membawa virus tersebut, termasuk haiwan yang sakit atau ditemui mati di kawasan yang terdapat kes monkeypox.
• Elakkan dari bersentuhan dengan sebarang benda yang telah bersentuhan dengan haiwan yang sakit.
• Mengasingkan pesakit yang telah dijangkiti virus ini daripada golongan yang berisiko untuk dijangkiti.
• Mengamalkan tatacara pembersihan tangan setelah bersentuhan dengan haiwan atau manusia yang telah dijangkiti, seperti membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan pencuci tangan yang berasaskan alkohol.
• Menggunakan kelengkapan pelindung diri bagi mereka yang menjaga pesakit monkeypox.

Kaedah menangani virus Monkeypox

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom, penyakit ini kebiasaannya adalah sederhana dan kebanyakan mereka yang dijangkiti akan sembuh dalam tempoh sekitar dua ke empat minggu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksin untuk melawan cacar adalah 85% berkesan dalam menghalang monkeypox. Justeru, individu yang telah menerima suntikan cacar mungkin akan mengalami gejala yang lebih ringan.

Selain itu, Amerika Syarikat juga telah meluluskan penggunaan vaksin JYNNEOS™ atau juga dikenali sebagai Imvamune atau Imvanex bagi menghalang jangkitan Monkeypox dan cacar.

Sejarah kemunculan Monkeypox

Kali pertama virus ini dikesan berada dalam tubuh manusia adalah pada 1970 di Republik Demokratik Congo. Sejak itu, kes-kes monkeypox dalam kalangan manusia dilaporkan sudah terjadi di 11 negara Afrika. Pada 2003, kes pertama monkeypox dilaporkan berlaku di luar Afrika, iaitu di Amerika Syarikat. Penularan jangkitan tersebut telah menyebabkan lebih 70 kes yang direkodkan. Pada Mei 2022, banyak kes Monkeypox telah dikenalpasti di beberapa negara bukan endemik.

Monkeypox di Malaysia

Sehingga 24 Mei 2022, tiada kes jangkitan virus Monkeypox dilaporkan di negara ini. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan virus ini berdasarkan laporan daripada WHO dan akan melakukan pemantauan terhadap kes-kes yang disyaki berlaku di pintu masuk antarabangsa di negara ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: