Tempatan

Mohon Tetapkan Anak Beragama Hindu, Kes Loh Didengar 17 Mei Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 April 2022 – Permohonan semakan kehakiman Loh Siew Hong yang mahu mencabar tindakan bekas suami kerana mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya akan didengar pada 17 Mei ini.

Keputusan ini dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu.

A Srimurugan, selaku peguam yang mewakili Loh berkata, kes tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Antara nama yang dijadikan sebagai responden pertama hingga keempat adalah Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis.

Loh memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya masih lagi beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak sah dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Loh juga memohon membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam terhadap anak-anaknya jika ia telah dikeluarkan oleh mana-mana pihak berwajib dan memohon perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan, sekiranya belum dikeluarkan.

Selain itu, Loh turut memohon perintah mahkamah (perintah mandamus) bagi melarang Mohd Asri atau yang lain-lain membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam dan mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: