Modi Sanjung Demokrasi Sambil Musuh Politik di India ‘Diserang’
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JERMAN, 08 Julai 2022 – Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika berucap di Persidangan G7, sebuah gabungan politik 7 negara, telah memuji dan menyanjung prinsip demokrasi.
“Hari ini, kita boleh kata dengan bangga bahawa India adalah ibu kepada demokrasi,” ucapnya seperti yang dilaporkan The Economist.
Namun, di sebalik ‘tirai’ sanjungan tersebut, realiti yang agak berbeza dapat dilihat sedang melanda situasi politik di India, di mana parti Bharatiya Janata Party (BJP) yang dipimpin oleh Modi memerintah.
Di India ketika ini, Teesta Setalvad, seorang aktivis, telah ditahan oleh pihak berkuasa atas dakwaan kononnya beliau ditahan atas alasan anti-keganasan.
Teesta yang gigih memperjuangkan hak golongan minoriti di India seperti hak orang Islam, hak wanita dan hak suku Dalit yang dipercayai sering ditindas pemerintahan di sana ditahan pada bulan Jun baru-baru ini dan dibawa dari kediamannya di Mumbai hingga ke Gujarat.
Namun, menurut The Wire ‘jenayah’ sebenar Teesta adalah kerana beliau mempersoalkan penglibatan Modi di dalam sebuah rusuhan pada tahun 2002 yang menyaksikan hampir 1,000 nyawa orang Islam terkorban.
Kejadian seperti ini bukanlah satu-satunya kejadian yang menconteng arang di atas wajah negara ‘ibu demokrasi’ tersebut. samudera.my terdahulu pernah melaporkan tindakan salah seorang pemimpin BJP, Go Madhusudan yang mendesak umat Islam untuk menyerahkan masjid-masjid umat Islam kepada penganut Hindu sekiranya mahu ‘hidup bersama’ di India.
Di dalam sebuah lagi pendedahan samudera.my, pelampau-pelampau parti BJP didapati telah menendang seorang orang kurang upaya (OKU) sebelum menyuruh mangsa menjilat ludah mereka.
Peristiwa-peristiwa ini dan banyak lagi peristiwa serupa telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pemerhati antarabangsa, di mana Human Rights Watch telah mengeluarkan laporan bahawa kerajaan India telah menggunakan jentera kerajaan bagi ‘mendiamkan’ pengkritik mereka.