Modi! Kami Tahu Apa Yang Berlaku Kepada Muslim India! – Shahbudin Embun
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2022 – “Kepada Perdana Menteri India, Modi dan kesemua ahli kabinet dan ahli parlimennya. Kami tahu apa yang berlaku kepada Muslim di India! Kami tahu! Tetapi kes yang paling teruk adalah apabila dua ahli parlimen kamu menghina Nabi Muhammad S.A.W. kami!”
Tegas lontaran Shahbudin Embun dari Majlis Perundingan Melayu di hadapan Pejabat Kedutaan India yang ditujukan kepada kerajaan Narendra Modi di India.
Shahbudin Embun adalah salah seorang tokoh yang terlibat dan turut serta dalam penyerahan memorandum bersama dengan lebih kurang 100 wakil kepimpinan NGO Islam yang lain dalam himpunan selepas solat Jumaat di hadapan Pejabat Kedutaan India Malaysia di sini semalam.
Himpunan ini adalah sebagai respon kepada penghinaan terbuka terhadap Nabi Muhammad S.A.W. dan isteri baginda oleh dua orang ahli parlimen India yang telah melukakan hati dan mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.
“Kamu bangga India dikira sebagai bapa demokrasi tetapi bagi saya kamu sekarang adalah demokrasi paling teruk yang pernah wujud dan kami perlu buang semua buku perundangan, buku demokrasi yang ditulis mengenai India!” tegas beliau lagi.
Beliau mendesak agar kerajaan India Narendra Modi membaiki keadaan ini memandangkan isu ini adalah amat sensitif bagi rakyat Malaysia. Selain itu, Shahbudin juga mempunyai pesanan kepada Kerajaan Malaysia berkenaan perkara ini, “Saya mahu Kerajaan Malaysia mesti keras mengambil tindakan terhadap perbuatan biadap dua ahli parlimen India ini!”
Antara wakil-wakil NGO yang hadir bersama ketika itu adalah, Pengerusi PEMBELA Hj Aminuddin Yahaya, Naib Pengerusi PEMBELA merangkap Presiden PERKID Ustaz Masridzi Sat, Kamaruzzaman Mohamad PEMBELA, Saudara Muhammad dari Persatuan Pemuda India Muslim Malaysia, Izzuddin dari GAMIS, Mejar Meor dari Veteran Angkatan Tentera, Ustaz Azhar dari Majlis Amal Islami Malaysia, Shahbudin dari Majlis Rundingan Melayu, Zulkifli Wahijan dan Dato’ Ibrahim Ali.
Manakala, wakil-wakil parti politik yang turut hadir iaitu, Nazir Helmi wakil dari Pemuda PAS, Exco Pemuda UMNO Malaysia Ustaz Afiq dan YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Himpunan tersebut berakhir pada pukul 3.30 petang dengan aman. Walau bagaimanapun, wakil NGO yang terlibat dengan serahan memorandum tersebut merakamkan perasaan kecewa dengan sikap pejabat kedutaan India yang menutup pintu dan tidak meraikan hak kebebasan bersuara seperti yang dilaungkan mereka selama ini.