Terkini

MI’RAJ BERSETIA KEPADA INSTITUSI RAJA MELAYU

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Gabungan MI’RAJ yang mewakili NGO dan rakyat Malaysia khususnya warga prihatin watan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak berlandaskan Kedaulatan Raja-Raja dan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan terpanggil untuk membuat respon terhadap kenyataan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan yang menyerahkan Memorandum kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.

Tanpa menafikan keperluan Kerajaan untuk menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh darurat mengikut tatacara yang sesuai berdasarkan ordinannya, dan penamatan tempoh darurat pada 1 Ogos 2021, Gabungan MI’RAJ menegaskan dakwaan Tun M bahawa orang Melayu kini marah kepada Raja-Raja adalah tidak benar. Sebaliknya, Mi’RAJ melihat perkembangan yang berlaku sedang menunjukkan rakyat mulai bosan dengan permainan ahli-ahli politik yang lebih mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memutarbelitkan sentimen dan tuntutan rakyat pada hari ini.

MI’RAJ berpendirian bahawa doktrin nasihat yang diamalkan di Malaysia dari dulu sehingga kini tidak mutlak kerana prinsip ketinggian Perlembagaan Persekutuan terjamin oleh Perkara 4(1).

Namun begitu, MI’RAJ telah mengikuti secara dekat kenyataan-kenyataan Tun M dan mendapati apa yang dilaung-laungkan jelas bertentangan dengan polisinya semasa mempunyai kuasa.

Mereka yang berusia lebih 21 tahun ketika di bawah pentadbiran Tun M pastinya dapat menilai dengan lebih adil gaya kepimpinan Tun M sepanjang 22 tahun BN gah mengekalkan sokongan majoriti di Parlimen.

Ketika itu, seluruh dunia menyaksikan Persekutuan Malaysia ditadbir “ala Tun M”. Apabila Raja-Raja enggan bertindak mengikuti nasihat Tun M atau mengikut hasratnya maka Raja-Raja ditegur dengan keras. Perkara 40(1A) yang digubal melalui Akta A885, berbunyi, “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu”, adalah bukti niat penumpuan kuasa yang diidamkan.

Sekian lama selepas penggubalan Perkara 40(1A), rakyat diajar oleh media arus perdana bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja perlu memerintah berdasarkan nasihat eksekutif. Para peguam, pensyarah dan guru secara umumnya mengajar perkara yang sama walaupun doktrin nasihat itu tidak boleh bercanggah dengan prinsip keluhuran Perlembagaan.

Akibatnya institusi raja dilihat lemah hinggakan disifatkan simbolik tanpa ruh seperti sistem Westminster. Itulah harga yang telah dibayar apabila Parlimen didominanasi di bawah pentadbiran satu perikatan dan “ala Tun M”.

Pada hari ini, apabila sudah tiada kuasa, nada Tun M begitu jauh berbeza malah lantang menentang keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menurut nasihat PM sekiranya nasihat itu tidak menguntungkan beliau atau kumpulannya, atau jika budi bicara Baginda selari dengan permintaan Jemaah Menteri.

Justeru, MI’RAJ menyertai rakan-rakan NGO lain menuntut Tun M menjelaskan kepada semua rakyat apakah prinsip sebenar yang terkandung dalam Perkara 40(1A) Perlembagaan.

MIRAJ merakamkan rasa dukacita atas suara Tun M yang mengancam kesetiaan orang Melayu kepada institusi raja.

MI’RAJ mendokong keputusan YDPA dalam isu Perisytiharan Darurat begitu juga saranan Baginda agar Parlimen dipanggil bersidang jika keadaan mengizinkan.

MI’RAJ sentiasa meneliti setiap Kenyataan Media Istana Negara, dan menyokong penuh titah YDPA yang jelas mengamalkan sikap “non-partisan” serta tegas menjunjung kewajipan Baginda di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, MI’RAJ melihat rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin yang sudah begitu lama di persada politik dan berharap generasi yang mencintai watan untuk menerajui kepimpinan negara, sebagai syura kepada Raja-Raja Melayu.

ALLAHU AKBAR!
DAULAT TUANKU!

Suzana Othman
Ketua Umum Sekretariat
Gabungan Mi’Raj

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button