Minyak Sawit: Tingkatkan Usaha Kekang Kempen Negatif Media Barat
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2023 – Kempen negatif media barat yang ingin menjatuhkan komoditi Malaysia terutama minyak sawit perlu diambil serius oleh semua pihak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kesatuan Eropah (EU) cuba mengaitkan penanaman kelapa sawit dengan penebangan hutan dan mengenakan sekatan ke atas import minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia di bawah Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
BACA JUGA: Bencana Banjir, Malaysia Rugi RM622.4 Juta
Fadillah berkata, Malaysia memandang serius perkara ini dan akan berganding bahu dengan negara lain yang terjejas dengan sekatan itu, untuk secara kolektifnya menuntut layanan yang lebih adil dan membetulkan kempen negatif terhadap minyak sawit.
BACA JUGA: Kartel ‘Kawal’ Harga Telur & Ayam, B60 Bakal Terkesan Teruk
“Ia menggunakan hanya 0.6 peratus daripada penggunaan tanah pertanian dunia tetapi menghasilkan 35.5 peratus daripada pengeluaran minyak sayuran dunia,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Global 2023 anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia-Pasifik, pada Khamis.
BACA JUGA: Indonesia Tumpas ‘Ejen Bigboss’ Dalang Sindiket Seludup Rohingya Ke Malaysia
Fadillah juga menekankan bahawa Malaysia komited sepenuhnya terhadap kelestarian alam sekitar dan menggesa pengeksport supaya membuktikan bahawa proses pengeluaran minyak sawit tidak merosakkan hutan.
Tegasnya, Kerajaan terus melaksanakan beberapa langkah selaras dengan komitmennya untuk memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Salah satu langkah itu, katanya, adalah pengembangan skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang sehingga kini, mencapai 97.93% daripada semua kawasan tanaman.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk komoditi yang dihasilkan secara mampan, kami menyedari adalah sangat penting untuk memenuhi keperluan semasa kami tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.