EkonomiTempatan

Minyak Sawit Malaysia Berjaya Tembus Pasaran Global

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 September 2022 – Minyak sawit Malaysia berjaya menembusi pasaran global baharu di tiga negara iaitu Hungary, Republik Czech dan Estonia sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Lapor akhbar tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, tiga negara tersebut telah mula membeli komoditi itu dan sejak Januari hingga Julai tahun ini, Hungary mengimport 853 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM6.73 juta, Republik Czech mengimport 95 tan bernilai RM0.88 juta dan Estonia mengimport 2,501 tan yang bernilai RM20.22 juta.

Ujar beliau, ini membuktikan bahawa komoditi utama negara mendapat penerimaan dan pengiktirafan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.”

“Saya menyambut baik situasi ini setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.”

Walaupun kewujudan pasaran baharu ini sebahagiannya disebabkan konflik Ukraine, Zuraida percaya ia adalah permulaan yang baik dan minyak sawit negara akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik tersebut tamat.

KPPK juga telah menetapkan sasaran mengeksport minyak sawit ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya Kesatuan Eropah (EU) serta akan mengembangkan pasaran dalam kalangan negara pengimport.

Maklum balas yang diterima daripada pasaran baharu juga menunjukkan bahawa kualiti minyak sawit Malaysia adalah diyakini kerana produktiviti yang tinggi, ketersediannya sepanjang tahun dan kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.

Mengulas lanjut, Zuraida mengatakan bahawa pencapaian ini adalah perkembangan menggalakkan dan dengan selangkah kaki memasuki pintu negara-negara berkenaan, ia membolehkan pasaran minyak sawit negara meningkat di sana untuk tempoh jangka masa panjang.

Leave a Reply

Back to top button