Minta Wang Perlindungan, 4 Lelaki Ditahan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMPANG, 18 Februari 2022 – Empat lelaki ditahan pihak polis dipercayai melakukan pemerasan wang perlindungan terhadap pemilik restoran makanan Thailand di Taman Melawati, Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat aduan dan maklumat mengenai kes pemerasan tersebut.
“Tindakan suspek telah mendatangkan ketakutan terhadap pemilik premis sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya tiba untuk menahan mereka,” katanya.
Ketangkasan pihak polis bertindak atas aduan itu menyebabkan keempat-empat lelaki warga tempatan yang dalam lingkungan 27 hingga 44 tahun itu berjaya dicekup di lokasi kejadian.
Melalui tangkapan itu, pihak polis turut merampas sebuah kereta bersama kunci, tiga buah telefon bimbit beserta satu sampul yang mengandungi wang tunai yang disyaki wang perlindungan.
“Siasatan awal mendapati suspek meminta wang perlindungan bulanan dan jumlahnya mengikut seikhlas hati. Dalam kes ini, sebanyak RM150 telah diberikan ianya merupakan kali pertama,” ujar Asisten Komisioner berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah dan berdasarkan dari saringan ujian air kencing, keempat-empat mereka negatif dadah.
Setakat ini, semua suspek masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat.