NGO

MHO Membantah Sekerasnya Pembakaran Al-Quran Dibuat Oleh Duta Sweden

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan. MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman. Ini juga bertepatan dengan Perkara 3 ‘Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) di mana ia menekankan bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

2. Pada 21 Januari yang lalu dunia Islam digemparkan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat ketua kepada satu parti politik di Sweden bernama Rasmus Paludan yang telah secara terbuka membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden. Pemimpin itu bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun berbuat demikian selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

3. Walau atas apa jua alasan, tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark tersebut amat memalukan dan merupakan amalan ekstremis yang cuba menghasut dan membuat provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia dan percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan. Menurut laporan, Rasmus Paludan yang mempunyai dua kerakyatan iaitu Denmark dan Sweden telah menerima kebenaran untuk membakar al-Quran daripada kerajaan negara tersebut beserta kawalan daripada pihak polis.

4. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku yang mana membenarkan unsur-unsur ekstremis dengan mensasarkan umat Islam, menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamofobia. Perbuatan ini bakal menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia.

5. MHO menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada serta NGO-NGO di Malaysia untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam di samping mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem ini.

6. Selain itu, pihak MHO akan bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta NGO-NGO lain bagi memberi tekanan keras melalui pihak kedutaan Sweden supaya individu dari parti berhaluan kanan tersebut diambil tindakan tegas. Individu tersebut seolah-olah dilindungi oleh kerajaan Sweden kerana tidak ada tindakan yang diambil dan semasa beliau membakar al-Quran tersebut beliau serta pengikutnya dilaporkan dikelilingi anggota keselamatan, ini seolah-olah kerajaan Sweden secara tidak langsung seperti memberi kebenaran dan merelakan tindakan individu ini membakar al-Quran.

Yang Benar,
Dato’ Hishamuddin Bin Hashim
Setiausaha Agung
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker