MetMalaysia Keluarkan Ramalan Cuaca Sehingga Februari 2023
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 07 September 2022 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan ramalan memaklumkan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan Barat Sabah pada awal pagi walau Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga pertengahan September 2022.
“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.”
Pada bulan September, kebanyakan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka akan menerima hujan pada paras purata kecuali Hulu Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata dan di Sarawak, Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangka akan menerima hujan melebihi paras purata.
Manakala bulan Oktober lazimnya merupakan fasa peralihan monsun.
“Dalam tempoh ini, keadaan cuaca yang lembap dengan kejadian hujan, ribut petir serta angin kencang lebih cenderung untuk berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat serta tengah Sarawak.”
Monsun Timur Laut pula dijangka akan bermula pada bulan November dan berakhir pada bulan Mac 2023.
“Semasa tempoh tersebut, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.”
“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama kawasan pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.”
Secara keseluruhannya, hampir kesemua negeri di Semanjung termasuk Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang lebih kerap diramalkan bakal berlanjutan sehingga Februari 2023.