Tempatan

Mesyuarat Tergempar PEMBELA KEBANGSAAN Bincang Tindakan Lanjut Kes Adib

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 September 2021 – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) semalam mengadakan satu pertemuan tergempar dengan sayap Kebangsaan PEMBELA berikutan pengumuman YB Datuk Hajah Zuraida Binti Kamaruddin mengenai penutupan kes Adib.

Kehadiran wakil-wakil negeri dari pelbagai latar termasuk peguam, aktivis, penggerak media dan tokoh masyarakat ialah bagi mendapatkan cadangan dan pandangan.

Berikutan pengumuman YB Zuraida, Pengerusi PEMBELA, Hj Aminuddin Yahaya mendedahkan, pihak PEMBELA menerima terlalu banyak mesej dari pelbagai pihak terutamanya NGO-NGO Islam yang menyatakan rasa kecewa dan marah dengan keputusan untuk menutup kes Adib tanpa sebarang usaha serius untuk memastikan keadilan yang sepatutnya diperjuangkan ditegakkan.

“Apa yang kita cuba bangkitkan ini bukanlah untuk melawan sesiapa dan bukan untuk menimbulkan isu perkauman tetapi untuk memastikan keadilan ditegakkan. Sebagai Muslim, menegakkan keadilan itu adalah satu tuntutan yang harus ditegakkan.” Demikin menurut penjelasan Hj Aminuddin Yahaya.

Samudera.my dimaklumkan tentang maklum balas dari peserta-peserta negeri yang bersetuju supaya kes ini tidak ditutup begitu sahaja. Beberapa cadangan mengenai tindakan-tindakan strategik dibincangkan supaya kes ini diberi perhatian dan keluarga Adib mendapat keadilan yang sepatutnya.

Mesyuarat turut diberikan penerangan tentang fakta-fakta kes serta beberapa naratif tidak tepat yang cuba disebarkan oleh pelbagai pihak untuk mengelirukan rakyat berkenaan kes ini.

Turut dimaklumkan bahawa fakta dari keputusan Mahkamah Koroner di dalam inkues kes Adib sebelum ini, sudah cukup untuk membolehkan pihak berkuasa untuk terus menjalankan siasatan, mencari bukti lanjut dan mengusahakan tindakan undang-undang.

Dalam satu kenyataan yang dibuat pada 16 Julai 2020, bapa Muhammad Adib mengeluarkan kenyataan untuk memulakan tindakan saman ke atas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana Ketua Polis Negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah.”

Pengerusi PEMBELA turut mengumumkan akan mengadakan satu sidang media khas pada hari Khamis, 30 Sept 2021 jam 11 pagi berkenaan tindakan PEMBELA dalam isu ini.

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran media sosial Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (https://www.facebook.com/pembelaislam.official) dan akhbar-akhbar yang hadir membuat liputan.

“Kes kematian Adib tidak boleh didiamkan selagimana keadilan tidak dapat dicapai buat dirinya dan keluarganya. Kita mainkan peranan dan usahakan mana yang termampu. Insya Allah,” kata Hj Aminuddin Yahaya sebagaimana yang dimuatkan di dalam akaun Facebooknya semalam.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button