Mesir Mahu Muzium British Pulangkan Artifak Batu Rosetta
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MESIR, 03 November 2022 – Perdebatan mengenai siapa yang berhak memiliki artifak-artifak purba kini telah menjadi sebuah cabaran yang semakin hangat bagi muzium-muzium di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Kini tumpuan diberikan kepada sebuah artifak yang paling kerap dikunjungi yang kini diletakkan di Muzium British, batu Rosetta.
Inskripsi yang tertulis pada sebuah batu granite gelap itu telah menjadi suatu penemuan yang menakjubkan dalam merungkai hieroglif Mesir purba setelah ianya dirampas daripada negara tersebut oleh pemerintahan British pada tahun 1801.
Kini, ratusan warga Mesir menuntut supaya batu tersebut dipulangkan ke tempat asalnya. Keberadaan batu tersebut di Muzium British kini membawa maksud keganasan budaya oleh pihak Barat terhadap Mesir, seperti yang dinyatakan oleh Monica Hanna, pendiri bagi salah sebuah petisyen yang menuntut agar batu tersebut dipulangkan ke Mesir.
Hanna yang juga seorang dekan di Akademi Arab bagi Sains, Teknologi dan Pengangkutan Maritim telah membuat satu petisyen yang kini telah ditandatangani oleh 4,200 individu di mana petisyen tersebut menyatakan bahawa batu tersebut telah dirampas dan dianggap sebagai “rampasan perang”.
Sebuah lagi petisyen yang mengandungi tuntutan yang sama turut dibuat oleh Zahi Hawass, mantan menteri hal ehwal antik Mesir yang telah memperolehi sekitar 100,000 tandatangan.
Tuntutan tersebut telah ditolak oleh pihak Muzium British dengan menyatakan bahawa perjanjian mengenai hak milik batu tersebut yang dibuat pada tahun 1801 itu turut melibatkan tandatangan wakil bagi pihak Mesir.