NGO

Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu: Siri 1

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1.InsyaAllah ISMA akan terlibat dalam penganjuran Hari Peradaban Bangsa Melayu bersama PEMBELA dan gabungan NGO-NGO lain. Tarikh sudah ditetapkan dan persiapan ke arahnya sedang berjalan sekarang. Moga dipermudahkan Allah.

2. Dalam kemodenan zaman dan kecangihan teknologi dan segala-galanya, kita sering mendengar suara sumbang yang mengatakan bahawa apa yang dipanggil sebagai budaya Melayu itu sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Budaya dianggap tinggalan sejarah lama yang bertentangan dengan kemajuan dan kemodenan. Sesuai mungkin hanya di musim perayaan atau di dalam majlis istiadat atau di dalam pementasan… begitu dakwaannya.

3. Noktah pertama dan paling penting untuk kita semua faham, budaya Melayu adalah budaya yang diadaptasi dari Islam dan dimunculkan dalam bentuk tempatan. Selagi mana Islam itu relevan, maka selagi itulah budaya Melayu itu akan sentiasa relevan. Ada beberapa amalan orang Melayu dahulu yang tidak lagi menjadi budaya orang Melayu setelah Islam datang. Dan ada juga budaya baru yang muncul dalam masyarakat Melayu hasil dari penyebaran Islam di dalam alam Melayu.

4. Orang Melayu sudah menolak pesta puja laut, mandi tolak bala, persembahan korban kepada jin dan sebagainya. Di masa yang sama muncul pula budaya baru hasil penyebaran Islam dalam masyarakat Melayu seperti budaya marhaban, wirid berjemaah selepas solat, sambutan maulid Nabi S.A.W. dan sebagainya. Juga muncul beberapa perlambangan yang mengukuhkan kefahaman Islam di dalam masyarakat seperti bulan sabit dan bintang di atas kubah masjid sebagai lambang ketinggian Islam.

5. Kita tidak boleh membataskan budaya Melayu hanya pada penampilan lahiriah seperti samping dan busana sahaja. Segala penampilan lahiriah itu lahir dari satu falsafah dan konsep Islam yang lebih luas dan kukuh kemudian dimunculkan di dalam perlambangan zahir yang boleh dipraktikkan di dalam kehidupan harian. Jika kita memahami budaya dalam bentuk begini, maka kita tidak akan sekali-kali mengatakan budaya Melayu sudah tidak relevan di zaman ini.

6. Berbusana dan bersenjata contohnya lahir dari gabungan beberapa konsep yang terpahat dalam pemikiran orang Melayu Islam. Dalam menjalani aktiviti harian, orang Melayu menggabungkan antara keselesaan untuk membuat kerja, penutupan aurat secara sempurna, pakaian tambahan untuk kegunaan lain, perlambangan identiti dan asal usul serta keselamatan di dalam urusan harian.

Keselesaan membuat aktiviti harian menjadikan pakaian orang Melayu dahulu lebih longgar dan selesa untuk digunakan bagi apa juga aktiviti termasuk aktiviti lasak. Jauh lebih selesa untuk bekerja dibandingkan jubah. Samping di pinggang boleh digunakan untuk selimut jika diperlukan, boleh juga digunakan untuk solat jika diperlukan. Corak jahitan baju dan sulaman serta bentuk tanjak adalah perlambangan yang melambangkan asal usul dan identiti. Mungkin tidak penting bagi sesetengah bangsa, tapi penting bagi bangsa Melayu kerana setiap etnik dan hirarki dalam masyarakat perlu disantuni dengan caranya yang tersendiri. Pengenalan diri melalui pakaian memudahkan ianya berlaku dengan baik. Senjata adalah pertahanan diri. Jika pun tidak ada manusia yang menyerang, binatang buas banyak di dalam alam Melayu. Jika tiada binatang buas pun, semak samun dan kayu yang menghalang perjalanan masih memerlukan senjata tajam.

7. Kita mungkin boleh mencantikkan lagi bentuk busana atau tanjak, tetapi sesekali tidak boleh mengubah konsep yang melatari busana dan tanjak itu. Perkara yang sama juga kepada bentuk rumah orang Melayu, bentuk masjid orang Melayu, budaya sambutan perayaan dan sebagainya. Setiap satunya lahir dari gabungan konsep tertentu.

Oleh kerana ia lahir dari kefahaman orang Melayu terhadap Islam dan adat Melayu, maka ianya akan terus relevan hingga bila-bila. Bahkan ia perlu untuk dipastikan sentiasa hidup dalam masyarakat Melayu.

Wallahu a’lam

PAUTAN ASAL: Facebook Ustaz Fauzi Asmuni

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: