Menteri Luar Iran Bertegas Sekat Campur Tangan Asing Di Iran
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
IRAN, 26 November 2022 – Menteri Luar Iran, Hossain Amir-Abdollahian telah mengecam tindakan anti-Tehran yang dilakukan oleh kerajaan Jerman dengan menegaskan bahawa Iran memberi komitmen sepenuhnya terhadap hak-hak asasi manusia namun tidak akan membenarkan sebarang campur tangan asing terhadap hal-hal tempatan.
Amir-Abdollahian telah membuat kenyataan demikian menerusi beberapa siri ciapan di Twitter pada Khamis lalu.
Siri ciapan tersebut dilakukan beberapa jam setelah Persidangan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (HRC-PBB) mengadakan mesyuarat yang mana mesyuarat tersebut telah diminta oleh Jerman dan Iceland.
Mesyuarat tersebut telah membincangkan tentang tuduhan mengenai pelanggaran hak-hak asasi manusia di Iran dalam menguruskan rusuhan-rusuhan yang disokong oleh pihak asing di negara tersebut.
Dalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli lembaga telah membuat sebuah resolusi anti-Iran dan menyeru agar diwujudkan sebuah misi pencarian fakta bertahap antarabangsa bagi menyiasat tindakan Iran dalam menguruskan siri protes terbabit.
Sejak bermulanya siri rusuhan di Iran yang didokongi oleh pihak asing pada pertengahan September lalu, Jerman dan Amerika Syarikat telah mengambil pendirian anti-Tehran dan telah membuat tuduhan bahawa Iran telah melakukan “keganasan yang teruk” terhadap para perusuh.