NGO

Menjinakkan Umat Islam Dengan Penjenamaan Arak – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Pasaran orang Melayu adalah yang paling menguntungkan jika berniaga sebab majoriti rakyat Malaysia adalah orang Melayu. Pelbagai cara dilakukan untuk meraih pembeli dari kalangan orang Melayu, contoh lambang masjid pada beras, tulisan jawi pada tin sardin, nama-nama Melayu pada produk-produk dari kilang pengeluaran bukan Melayu, semuanya untuk meraih keuntungan yang lumayan.

2. Dari produk halal hinggalah kepada yang haram, apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil kaya-raya, maka itulah yang akan dilakukan. Semuanya menjadi halal apabila melibatkan keuntungan wang ringgit. Tidak peduli kesan dan akibat masyarakat dan negara, asalkan peniaga peroleh hasil lumayan.

3. Dalam Islam, soal pengharaman arak atau khamar iaitu minuman yang memabukkan adalah jelas hukumnya secara putus sebagaimana terdapat dalam Al-Qur’an, iaitu: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya.”

4. Ayat ini meletakkan kedudukan hukum arak itu adalah haram mutlak. Disusuli serta diperkuatkan lagi dengan hadith amaran dari Rasulullah SAW mengenai kategori mereka yang terlibat dengan arak ini secara terperinci apabila Rasulullah SAW memberi peringatan tentang 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT, iaitu (1) orang yang memerah, (2) meminta diperahkan arak, (3) minum, (4) membawa dan (5) menghantar, (6) menuangkannya, (7) menjual, (8) membeli, (9) makan hasil jualannya serta (10) meminta dibelikan minuman itu.

5. Semua yang di atas yang disebut oleh Rasulullah SAW terlibat dan mendapat dosa besar, bukannya dosa kecil. Maka jelas Islam mengharamkannya dan menolak apa-apa yang berkaitan dengan arak. Kita sebagai umat Islam wajib paling tidak di dalam hati kita menolak arak ini, iman paling rendah yang mampu kita buat. Tetapi jika kita ada kemampuan maka wajib menghapuskannya bukannya membenarkan dengan alasan negara majmuk maka kita perlu meraikan agama lain.

6. Kemudian tentang jenama “Timah”, di sinilah melampaunya pihak kilang kerana meletakkan jenama Timah pada arak, sama ada pihak kilang sedar atau tidak nama Timah itu pada masyarakat Melayu adalah nama timangan atau nama ringkas atau nama manja daripada nama penuhnya iaitu Fatimah. Sepatutnya pihak kilang bahagian pemasaran lebih peka akan perkara ini yang sensitif pada masyarakat Islam.

7. Nama ini adalah sama dengan nama anak kesayangan Rasulullah SAW iaitu Fatimah al-Zahra. Tidak dapat dipastikan sama ada pihak kilang tahu atau buat-buat tak tahu atau memang ada niat dan agenda normalisasi menghina nama-nama tokoh-tokoh hebat dalam agama Islam. Dalam erti kata lain jenama “Timah” adalah satu penghinaan terhadap agama Islam bukan sekadar penghinaan terhadap nama Melayu sahaja.

8. Tuduhan ini segera dijawab oleh pihak yang bersimpati dengan kilang dengan mengatakan nama dan gambar yang tertera pada botol arak tersebut ialah seorang Inggeris bernama Kapten Tristram Speedy dengan panjang lebar hikayat mengenainya yang ada sangkut-paut dengan sejarah orang kaya Melayu, Ngah Ibrahim yang membayar gaji Kapten Speedy dan 110 askar sepoi untuk menjaga keamanan di daerah Larut yang sering jadi huru-hara akibat pergaduhan di antara puak gangster Ghee Hin dan Hai San.

9. Tetapi kemudiannya Kapten Tristram Speedy ini belot dan berpaling tadah sehingga dikaitkan Ngah Ibrahim dengan peristiwa pembunuhan J.W.W Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak dan akhirnya dijatuhi hukuman buang negeri bersama-sama Sultan Perak, Sultan Abdullah ke Pulau Seychelles pada tahun 1877. Selain agenda sebenarnya menurut pencatat sejarah Inggeris mahu menutup ruang daripada orang Melayu jadi kaya raya sama seperti di zaman Melaka dahulu.

10. Menghairankan jika catatan ini benar kenapa pengilang mahu mengangkat kembali nama pengkhianat yang pernah belot terhadap orang Melayu. Apakah pengilang mahu memberitahu mereka bangga dan gembira melihat orang Melayu berjaya dijatuhkan dan digagalkan daripada beroleh kejayaan dalam perniagaan?

11. Sama ada orang Melayu mahu sedar atau tidak segala yang berlaku adalah tanda-tanda orang Melayu mudah diperkotak-katikkan dan mudah diperdaya hanya dengan alasan bodoh dan kemudiannya pihak berwajib akan senyap lalu menganggap tiada apa-apa yang berlaku. Menteri yang bertanggungjawab kembali bekerja dan menikmati gaji lumayan dan elaun beribu ringgit seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

12. Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah tumbuhnya pelbagai arak tetapi sepakat dengan satu matlamat demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat daripada berlaku perkara tidak diingini seperti kes pemandu mabuk, penderaan isteri dan anak-anak akibat ketagihan arak adalah perkara yang harus dicari jalan penyelesaiannya. Apa faedah dengan menuding jari dan menyalahkan pihak lain sedangkan yang ada kuasa membisu?

Wallahu a’lam

Haji Rashidi Haris
Ketua Media PEMBELA

Pautan Asal: Facebook lebai kampung

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button