Tempatan

Lebih 65 Tahun Merdeka, Masih Wujud Warganegara Tidak Fasih BM – Awang Sariyan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2022 – “Sesudah lebih 65 tahun negara merdeka, masih timbul masalah ketidakfasihan sejumlah warganegara dalam penguasaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.”

“Dalam pelaksanaan kurikulum pula, masih wujud polarisasi apabila dua sukatan pelajaran berbeza diwujudkan untuk sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, situasi yang tidak akan mempercepat penyatuan rakyat melalui bahasa Kebangsaan,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dalam satu kenyataan.

Beliau berpandangan, hal itu menimbulkan keanehan apabila terdapat dua standard bahasa negara, satu untuk pelajar sekolah kebangsaan dan satu lagi untuk sekolah jenis kebangsaan.

Jika dikaitkan pula dengan masalah pemantapan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara dengan isu pengiktirafan UEC ketika ini, ianya sangat jelas.

“Dalam keadaan perjuangan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang belum mencapai matlamatnya, maka pengiktirafan kepada UEC yang berteraskan pendidikan berbahasa pengantar bahasa Cina menambah duka dalam lara dan menambah barah dalam barah yang sedia ada,” jelas beliau lagi.

Tambahan pula, dalam laporan kenyataan beliau sebelum ini telah menegaskan bahawa, terdapat orang Cina di negara ini sendiri menolak pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) khususnya mereka yang mengatakan lebih “setia kepada negara” kerana menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

“Mereka menganggap bahawa pengiktirafan UEC merampas hak sebahagian daripada mereka yang mengikuti pengajian di sekolah kebangsaan.”

Bagaimanapun, asas terpenting yang mesti difikirkan adalah bahawa negara terbina dan terlestari dengan adanya pancang-pancang kenegaraan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah satu pancang penting, baik untuk perpaduan mahupun untuk menjadi wahana pentadbiran dan komunikasi dalam bidang lain.

“Bahasa lain dirancang dan dilaksanakan pengajaran dan penggunaannya dalam konteks untuk membantu meningkatkan pengutuhan tamadun negara.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: