NGO

Mengambil Pendekatan Tabula Rasa Dalam Menangani Krisis Jati Diri Anak Bangsa Negara Kita, Malaysia – NAJM

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

Kecelaruan jati diri sendiri dan penentuan kompas moraliti dalam jiwa raga anak bangsa tanah air dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin pudar terutamanya sejak setahun yang lalu semasa seluruh dunia mengalami pandemik virus COVID-19.

Mengapakah kita menjurus kepada kecelaruan jati diri dan lemah dalam penentuan kompas moraliti jiwa raga?  Kerana, keruntuhan sesuatu tamadun manusia berpunca dari keruntuhan akhlak serta kepercayaan kepada disiplin kerohanian.  Pembuktian sejarah terkandung di dalam banyak penemuan arkeologi.  Begitu juga, seperti yang sudah diberitakan di dalam kitab suci Al Quran Karim.

Apakah keruntuhan akhlak yang berlaku?  Keruntuhan akhlak berkenaan kecenderungan hawa nafsu-nafsu syahwat, nafsu makan, nafsu harta kebendaan, nafsu darjat dan ketinggian kedudukan dalam masyarakat.  Kesemua ini merujuk kepada nafsu keduniaan.

Apabila timbangan nafsu mengatasi akal fikiran waras, maka, kejahatan akan mengatasi kebaikan.  Walaupun ada undang-undang yang berdiri sebagai kompas kebaikan dan moraliti, namun, jika ia dikawal dan akan dilaksana oleh orang yang bernafsu nafsi keduniaan, maka, kebaikan tidak akan ditegakkan.

Apabila masyarakat itu didendangkan serta disantapkan dengan pencapaian melalui nafsu nafsi lantas kelakuan ini menjadi norma biasa, maka, apa-apa sahaja perkara kebaikan mengikut kompas akhlak dan disiplin pegangan agama yang syumul akan ditidakkan dan diinjak-injak tanpa rasa malu.

Bagaimana hendak ditegakkan malah dimakmurkan kebaikan yang syumul itu jika akhlak sudah rosak?  Banyak usaha, cadangan, memorandum, kertas kerja dibentangkan melalui pelbagai bengkel, sidang meja bulat dan konferens intelektual malah di ceramah-ceramah agama dan tazkirah.  Adakah ianya berkesan?  Yakni, adakah ianya berkesan secara meluas dan merata di kalangan semua lapisan masyarakat?  Tidak nampak pada pandangan visual keberkesanannya.  Kemungkinan besar ketepuan maklumat sudah dicapai. Maka, maklumat atas maklumat sudah tidak memberi kesan jitu yang diharapkan.

Jalan penyelesaiannya yang paling sesuai dalam keadaan sekarang ialah dengan menggunakan pendekatan Tabula Rasa.  Mengosongkan kesemua elemen-elemen buruk dan hitam itu dengan membersihkannya sehingga tapak asas itu menjadi kosong bersih dari semua pencemaran.

Dari sudut manakah Tabula Rasa ini digunapakai?  Dengan mentabula-rasakan kesemua aspek badan penguatkuasaan daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke-yang-serendah-rendahnya hatta, hingga ke peringkat sekolah tadika.

Beranikah para golongan pencinta kebenaran dan perindu kebaikan, keamanan, ketenangan dan kedamaian menyahut seruan ini?

Puan Azlinda Baroni
Pengasas
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button