Tempatan

Mempromosi Filem Gay Bawah Umur? – Haji Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Sejak seorang menteri pada era Pakatan Harapan (PH) mempromosi slogan “Rahmatan lil Alamin” dan tidak lama kemudiannya menjemput ketua kaum non-binari datang ke kementerian agama bagi menyantuni mereka, ketika itu sudah diduga suatu yang lebih parah akan berlaku. Kerana di situlah titik permulaan pintu gerbang kebebasan fahaman liberalisme dibuka luas kepada kaum ini sehingga berani muncul secara terang-terangan dan terbuka.

2. Malu? Bagi kaum yang dilaknati Tuhan ini, ia bukan lagi taboo malah berasa bangga dengan penampilan diri berpakaian songsang yang jelas melanggar etika jantina menurut Islam. Berlainan pula dengan Barat yang melihat kaum non-binari ini sebagai hak asasi kemanusiaan yang dapat dilihat sangat bersungguh-sungguh mengangkat kaum yang dilaknat ini agar dapat diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Dalam ertikata lain lelaki bebas berpakaian seperti wanita dan begitu juga sebaliknya. Lebih ekstrem, lelaki boleh berkahwin sesama lelaki. Kewujudan kaum sesat ini disebut dengan jelas kisah mereka di dalam Al-Qur’an.

3. Kita bukan hendak membicarakan soal kemunculan mereka secara mendadak kebelakangan ini tetapi kita mempersoalkan kenapa pihak berwajib yang diberi amanah dan diberi kuasa untuk menyekat kaum ini daripada mempromosi, menghasut dan mengajak orang ramai menjadi sesat sebaliknya dilihat seperti mahu mengiktirafkan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat majmuk.

4. Maknanya selepas pengiktirafan kaum non-binari ini, doa harian kita selepas solat fardhu akan berubah dengan menambah perkataan baru bagi kaum itu – “Muslimin wa Muslimat”… kena tambah “wa non-binari”. Na‘uzubillahi min dzalik

5. Kelmarin dalam media sosial melaporkan tentang sebuah film bergenre “gay” yang akan dilancarkan tidak lama lagi dengan menyebut: Pelakon, Danish Iskandar, 17, menerima banyak mesej daripada netizen yang terkejut apabila dia berlakon dalam siri bertemakan gay berjudul Stay Away From Me.

6. Persoalannya, apakah sekarang semua filem sudah tidak perlu melalui pihak berkuasa penapisan iaitu Lembaga Penapis Filem Malaysia. Atau mungkin Malaysia sudah mempunyai polisi baru yang telah mewartakan bahawa filem gay dibenarkan ditayang dengan bersyarat? Jika benar maka rakyat perlu tahu apa syarat-syarat baru itu?

7. Mengejutkan juga, apabila pelakon sendiri mengakui beliau baru berusia 17 tahun (dikategorikan sebagai “Bawah Umur”) untuk berlakon filem-filem yang berunsur lucah. Timbul juga persoalan, apakah sekarang kita sudah ada peruntukan baru bagi budak bawah umur diperbolehkan berlakon watak unsur lucah, kononnya bagi tujuan pendidikan?

8. Akhir sekali, jika semua persoalan di atas salah dan tidak tepat maka kita bertanya apa tindakan pihak berkuasa. Rakyat memahami maksud “keluarga” dalam slogan Keluarga Malaysia itu ialah pasangan suami isteri atau ibubapa yang mempunyai anak lelaki dan perempuan. Apakah termasuk non-binari sekali?

9. Al-Qur’an berulang kali apabila menyebut “keluarga” ia merujuk kepada pasangan sudah berkahwin, iaitu lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka juga adalah dari kalangan lelaki dan perempuan. Kecuali dalam kes terpencil ada menyebut tentang mereka yang dilahirkan tidak sempurna apabila memiliki dua jantina. Anehnya sekarang ini penyakit ini semakin ramai yang menghidapinya?

10. Justeru, bagi mengelak daripada perkara ini menjadi semakin parah dan tenat, pihak berwajib seperti Kementerian Agama perlu mengambil sikap tegas dan bertindak segera menghalang penerbitan filem ini daripada disiarkan dan dipertontonkan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk remaja belasan tahun yang mungkin akan terpengaruh dan membiaknya gejala tidak bermoral ini.

Haji Rashidi bin Haris
@Lebai Kampung

Pautan Asal: FB Lebai Kampung Page

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button