Memperkasakan JAKIM: PM Dituduh “Main Wayang”, Langkah Terkebelakang
KUALA LUMPUR 15 Jun 2023 – Mantan penjawat awam yang juga ahli bagi kumpulan G25, Johan Ariffin Ahmad telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi peranan yang lebih besar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah tidak lebih dari sebuah gimik politik.
Menurutnya lagi, beliau percaya bahawa keputusan yang dibuat Anwar itu adalah untuk menenangkan hati para pengundi Muslim di Semenanjung.
BACA JUGA: Tasik Chini Kekal Status Rizab Biosfera UNESCO
BACA JUGA: Kerajaan Pahang Tanggung Baki Kos Perubatan Adik Athif
BACA JUGA: Sup Tulang Babi Makanan Warisan, Rais Yatim Gesa Jabatan Warisan Nasihat Menteri
Beliau juga turut menyatakan bahawa cadangan ini adalah semata-mata untuk tujuan ‘pertunjukan’, bermain dengan penonton dan untuk bersaing dengan pembangkang.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan bahawa JAKIM telah gagal untuk mendidik orang Islam secara efektif dan ianya telah mengakibatkan masyarakat berada di dalam ketakutan yang tidak rasional berkenaan Islam sedang diancam di negara ini.
Manakala mantan Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail pula berpandapat bahawa tindakan memperkasakan JAKIM adalah sebuah “langkah terkebelakang” kerana menurutnya jabatan tersebut wujud di luar rangka kerja yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menyatakan bahawa keputusan Perdana Menteri itu juga lebih mengelirukan kerana menurutnya, berdasarkan kerangka Perlembagaan, urusan agama jatuh di bawah bidang kuasa Negeri.
Pada tahun 2020, G25 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kewujudan JAKIM adalah tidak selari dengan Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan berikutan jabatan tersebut tidak berada di bawah seliaan Majlis Raja-Raja.