Tempatan

Memoir Tommy Tunjuk Kedangkalan Pemikirannya – Tan Sri Idrus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Idrus Harun menyifatkan isi kandungan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai penghinaan ketara kepada institusi perundangan negara.

“Kandungan buku ini telah memberikan impak yang negatif khususnya daripada kaca mata orang luar dan ia secara langsung telah memberikan kesan kepada moral dan semangat Pegawai Undang-Undang. Selain itu, pada hemat saya ia merupakan suatu penghinaan ketara kepada institusi perundangan kita, yang amat kita hormati dan sanjungi.”

Tegas beliau, isi kandungan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ jelas menunjukkan pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi Peguam Negara itu sendiri.

Menafikan kenyataan Tommy dalam bukunya mengenai Pegawai Undang-Undang, Peguam Negara yang menggantikan Tan Sri Tommy ini menyatakan, sepanjang berkhidmat dalam bidang ini, apa yang dilihat beliau adalah, betapa Pegawai Undang-Undang mencurahkan sepenuh masa dan tenaga dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Saya juga sedia maklum tentang Pegawai Undang-Undang yang sentiasa bekerja di bawah tekanan yang tinggi dalam keterdesakan waktu bagi tugas-tugas yang amat mencabar sehingga sering bekerja di luar waktu pejabat, termasuk cuti hujung minggu dan mengorbankan masa untuk bersama-sama dengan keluarga semata-mata untuk memberikan keutamaan kepada tugas yang diamanahkan demi kepentingan negara.”

Oleh yang demikian, Tan Sri Idrus menegaskan bahawa beliau tidak pernah ragu dengan komitmen dan sifat dedikasi Pegawai Undang-Undang dalam melaksanakan tugas mereka.

“Saya tiada keraguan mengenai kebolehan, kemahiran, komitmen dan dedikasi pegawai undang-undang dalam memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih.”

Tommy, di dalam bukunya menyifatkan Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran.

Susulan kenyataan itu, Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan (JALSOA) menepis dakwaan dan menyatakan, persepsi buruk itu adalah ciptaan Tommy sendiri atas kegagalannya menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: