Tempatan

Membina Negara Dengan Arak? – Dr Ahmad Sanusi Azmi

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 19 November 2021 – Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berasa hairan dengan sesetengah pihak yang mendakwa tindakan tegas terhadap aktiviti judi dan arak adalah mencabuli prinsip “pembinaan negara bangsa” sedangkan arak dan judi sudah mendatangkan malapetaka pada banyak keluarga.

“Tidak cukupkah lagi kita menyaksikan keluarga yang kehilangan ayah disebabkan kerana dilanggar pemandu mabuk. Atau keluarga yang terkesan disebabkan kerana ketagihan judi atau arak?”

“Apakah dengan menyokong arak, kita sebenarnya sedang membina negara bangsa yang harmoni?” soal pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia itu.

Ilmuan pengajian Islam itu mengemukakan soalan tersebut di sebuah hantaran di laman Facebooknya yang menyertakan tangkap layar kenyataan Lim Kit Siang, “Memandangkan PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah dan membangkitkan isu mengenai arak, mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa Rukun Negara, marilah pengundi di Melaka menolak secara bulat-bulat calon PAS, PN dan BN”.

Dr Ahmad Sanusi juga berasa aneh kerana terdapat pimpinan Muslim sendiri yang membantah tindakan penguatkuasaan tegas ini sedangkan penghasilan dan penyebaran arak ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.

Beliau menegaskan, “Sepatutnya tidak timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak dan judi ini oleh seorang Muslim. Keterikatan seseorang dan ketaksuban mereka kepada parti tertentu akhirnya membawa dirinya untuk mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Islam.”

“Jangan juga ada di kalangan pemimpin Muslim kita yang menganggap ringan perkara arak ini sehingga melihat arak itu hanyalah seumpama orang kafir yang “meminum teh sahaja.” Ini kerana kesan “teh” ini bukan sahaja merosakkan akal, bahkan mengorbankan nyawa saudara Muslim kita,” ujar Dr Ahmad Sanusi.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: