Membiarkan 2 Juta Warga Gaza Kebuluran, Mungkin Bermoral – Menteri Israel
AHAD, 11 Ogos 2024 – Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah mengeluarkan kenyataan bahawa menjadikan warga Gaza kebuluran itu boleh menjadi sebuah cara yang “adil” bagi memaksa Hamas melepaskan tawanan.
Perkara tersebut dinyatakan olehnya sewaktu berucap dalam sebuah persidangan pada awal minggu ini, di mana beliau turut mengakui bahawa tindakan tersebut dapat meningkatkan kemarahan komuniti global.
Dalam kenyataan yang sama, Smotrich turut menyatakan bahawa Israel telah dipaksa untuk membenarkan pemberian bantuan ke dalam Gaza “kerana tiada pilihan lain”, serta kerana pihak mereka memerlukan “keabsahan antarabangsa” dalam melancarkan peperangan di Gaza.
Beliau turut berhujah bahawa Israel tidak mampu untuk menggunakan bantuan kemanusiaan untuk memberi tekanan terhadap Hamas berikutan realiti global pada hari ini menjadikan perkara tersebut “mustahil”. Ujarnya,
“Tiada seorang pun di dunia ini yang akan membiarkan kita menjadikan dua juta warga (Gaza) kebuluran dan kehausan, walaupun ianya mungkin adil dan bermoral untuk kita supaya Hamas mengembalikan tahanan kita”.
Smotrich turut menyatakan bahawa jika pembahagian bantuan di dalam Gaza dikawal oleh Israel, berkemungkinan peperangan yang sedang berlangsung ini sudahpun ditamatkan dan para tahanan yang ditangkap oleh Hamas pada 7 Oktober juga mungkin sudah dilepaskan. Katanya lagi,
“Kamu takkan dapat melawan Hamas dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi pula sedang memberi mereka bantuan”.