Tempatan

Memalukan, 64 Tahun Merdeka, Teks Sahih Perlembagaan Masih Dalam Bahasa Inggeris – Datuk Zainul Rijal

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 14 November 2021 – “Mungkin ramai tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Inggeris. Walaupun Malaysia sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan, kedudukan itu masih kekal sejak Perlembagaan Persekutuan digubal disebabkan Perkara 152 (3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan sedemikian,” ujar Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

“Amat memalukan, walaupun sudah lebih 64 tahun merdeka, kita masih menjunjung teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Inggeris dan mengetepikan langsung teks berbahasa kebangsaan,” kata beliau lagi.

Menurut peguam itu, walaupun Jabatan Peguam Negara telah menterjemah naskhah sahih bahasa Inggeris itu ke dalam bahasa kebangsaan, namun ia tidak secara automatik menjadikan teks bahasa kebangsaan menjadi teks sahih.

Hal ini kerana terdapat peruntukan dalam Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan tatacara menjadikan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan.

“Bagi menjadikan naskhah bahasa kebangsaan teks sahih, Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan – Perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong menentukan teks bahasa kebangsaan itu menjadi teks sahih.”

Tambah beliau lagi, selepas itu jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan dengan teks bahasa Inggeris perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris tersebut.

Jadi, usaha perlu dilakukan bagi Yang di-Pertuan Agong menentukan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan untuk memartabatkannya.

Oleh kerana itu, Datuk Zainul Rijal mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengambil inisiatif segera bagi melaksanakannya.

“Bila lagi kerajaan mahu bertindak. Kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong segera bagi menentukan teks sahih Perlembagaan Persekutuan adalah teks dalam bahasa kebangsaan,” kata beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button