MEMAHAMI BERAKHIRNYA ISLAM POLITIK DAN FENOMENA KEBANGKITAN SEMULA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ABAD 21 – Dr AMRAN MUHAMMAD
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
DR AMRAN MUHAMMAD (ISSI)
Abad ke-20 dalam dunia dakwah dan geo-politik Islam dikenali sebagai Abad Modenisme dan Reformisme yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh utamanya seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida. Mereka inilah para pencetus gerakan Salafiyyah terawal dunia moden umat Islam yang kemudiannya bergabung dengan gerakan dakwah Najdiyyah Muhammad Ibnu Abdul Wahhab yang lebih dikenali sebagai Wahhabiyyah. Di Mesir gerakan Salafiyyah muncul dengan nama Ihkwan al-Muslimun yang diasaskan oleh Hassan al-Banna. Di Pakistan ia dinamakan Jamaat Islami ditubuhkan oleh Sayyid Abu Ala Mawdudi.
Atas nama Salaf, Tajdid dan Islah, pendokong gerakan Salafiyyah ini berkembang masuk ke dalam masyarakat Islam dengan tujuan mengeluarkan umat Islam dari masalah sosio-ekonomi dan politik yang sedang mencengkam mereka terutamanya akibat lama dikuasai oleh para penjajah Barat yang telah banyak merosakkan sistem sosio-ekonomi dan politik umat sebelum itu. Di negara kita sendiri juga berkembang fenomena gerakan Salafiyyah ini dengan tumbuhnya pertubuhan-pertubuhan dakwah seperti Abim, Ikram, Isma, Haluan dan seumpamanya yang memiliki sumber ideologi dan inspirasi yang sama. Di arena politik secara khusus PAS juga telah menjadikan parti mereka sebagai parti yang turut memperjuangkan gerakan Salafiyyah, Tajdid dan Islah ini yang lebih dikenali sebagai Islam Politik.
Menegakkan Negara Islam, Pelaksanaan Syariah dan Hukum Hudud menjadi mantra atau ratib asasi bagi gerakan Islam Politik ini di semua negara umat Islam yang wujud gerakan atau Jemaah atau harakah Islam dari sekitar tahun 1970-an sehinggalah akhir 1990-an. Slogan “kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” merupakan retorik paling popular yang digunakan sepanjang 30-40 tahun ini termasuk ungkapan-ungkapan “taghut”, “Jahiliyyah”, “sekular” malah “kafir” yang ditujukan kepada lawan dan musuh politik mereka. Puluhan ribu jika tidak ratusan ribu generasi pelajar Malaysia melalui indoktrinasi tarbiyyah, usrah dan tamrin yang secara umumnya bersifat simplistik, literal dan emosional dalam memahami dan menghayati Islam.
Menjelang akhir 1990-an, hampir rata-rata gerakan Islam Politik mengalami jalan buntu dalam perjuangan mereka dalam usaha-usaha menegakkan Negara Islam, Pelaksanaan Syariah dan Hukum Hudud. Yang jelas, slogan dan retorik Islam Politik ini menjadi tidak lain dari utopia akibat dari kegagalan para pencetusnya memahami khazanah dan tradisi keilmuan Islam yang bukan sahaja terbatas kepada “kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah”. Ketidakupayaan gerakan Islam Politik atau Kebangkitan Salafiyyah mengungkapkan fenomena Tajdid dan Islah selari dengan kekayaan khazanah dan tradisi keilmuan Islam akhirnya menjadikan mereka sekadar menjayakan aktivisme pragmatik atas nama Islam dan kadang-kadang terjebak dalam amalan politik Machiavellianisme yang tidak kurang dahsyatnya.
Sebagai reaksi kepada kegagalan Modenisme dan Reformisme gerakan Salafiyyah Abad ke-20 ini, di akhir 1990-an, muncul tokoh-tokoh seperti Dr Ali Jumaah (Mesir), Dr Saeed Foudah (Jordan), Habib Umar bin Hafiz (Yaman), Habib Ali Jufri (UAE), Dr Hamzah Yusuf (USA), Dr Umar Faruq Abd-Allah (USA), Dr Hakim Murad (UK) dan Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas (Malaysia) yang mencetuskan idea kebangkitan Turath atau Tradisi keilmuan Islam yang diabaikan oleh kebangkitan Salafiyyah Abad ke-20 tersebut. Idea kebangkitan Turath atau Tradisi keilmuan Islam sangat berkait-rapat dengan kefahaman dan penghayatan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan pegangan majoriti bagi umat Islam seluruh dunia. Sejarah membuktikan kebangkitan Salafiyyah seringkali membawa pergeseran dan konflik dengan masyarakat Islam setempat termasuk di negara kita.
Negara kita Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyahut fenomena kebangkitan baru Ahli Sunnah Wal Jamaah Abad 21 ini bilamana ramai di kalangan para pelajar Malaysia sendiri menjadi anak-anak murid kepada tokoh-tokoh pencetus kebangkitan semula Turath atau Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah ini. Malah kita patut bersyukur kerana Kepulauan Melayu Wilayah Nusantara ini telah memiliki tradisi panjang Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak paling kurang 500 tahun yang lalu khususnya melalui peranan penting sistem pendidikan pondok. Dalam konteks Malaysia, pengembalian kepada tradisi ilmu Tawhid Sifat 20 Imam Sanusi, Fekah bermazhab Imam Syafie dan Tasawwuf Imam Ghazali dengan segala penambahbaikannya lebih merupakan pilihan yang tepat berbanding dengan slogan dan retorik “kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah” yang difahami secara literal atau zahiri dan tanpa konteks khusus sehingga membawa kepada radikalisme dan ekstremisme sepertimana Tragedi Memali dan Amanat Haji Hadi satu waktu dahulu.
Para pendokong Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu menyedari situasi ini melihat kepada kekeliruan umat Islam yang semakin menjadi-jadi ketika ini dengan pelbagai pertandingan aliran pemikiran Islam dan bukan Islam. Dengan berakhirnya ideologi Islam Politik secara global, kegagalan fenomena Tajdid dan Islah gerakan Salafiyyah menjawab persoalan-persoalan intelektual, pemikiran dan ideologi baru, berkembangnya pemikiran literal di satu pihak dan liberal di pihak yang lain di kalangan umat Islam memerlukan kekuatan wasatiyyah atau penengah yang secara tradisinya disediakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sintesis wasatiyyah terpenting dalam tradisi keilmuan Islam ialah pertengahan dalam beraqidah sepertimana Imam Asha’ri mewasitkan antara Muktazilah dan Mujassimah dan pertengahan dalam berfekah sepertimana Imam Syafie mewasitkan antara ahli hadith dan ahli ra’y. Dan semangat sintesis wasatiyyah Aqidah Asha’irah, Fekah Syafi’iyyah dan juga Tasawwuf Ghazaliyyah inilah yang boleh mengeluarkan kita dari kemelut umat yang tidak berkesudahan InshaAllah. Di sinilah bermulanya Kebangkitan Ahli Sunnah Wal Jamaah Abad 21 yang mana Malaysia telah memiliki asas dan dasarnya sejak 500 tahun yang lalu!
Dr Amran Muhammad merupakan Pengerusi merangkap CEO Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI), Kuala Lumpur
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my