Melayu Tolak Ansur Sampai Mereka Sendiri Tertolak Keluar – Dr Iskandar Hasan Tan
KUALA LUMPUR – Dr Iskandar Hasan Tan bin Abdullah, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempersoalkan di mana konsep jati diri Malaysia apabila masih ada pihak yang menafikan kaum Melayu dan agama Islam sebagai teras budaya negara.
“Di manakah konsep jati diri negara ini, jika masih ada yang menafikan kewujudan hakikat Melayu dan Islam adalah budaya teras negara ini. Disebabkan penafian ini, maka tidak menghairankan terdapat sekelompok masyarakat negara ini mengasingkan diri mereka daripada aliran nasional negara ini.”
Beliau juga meluahkan rasa kecewa dengan sikap orang Melayu Islam yang terlalu bertolak ansur dengan kelompok yang bukan sahaja menafikan teras budaya Melayu dan Islam negara ini, bahkan kelompok tersebut mencipta teras budaya sendiri.
“Sebaliknya kita masih terlalu bertolak ansur sehinggakan kita tertolak keluar daripada agenda kelompok masyarakat yang terasing ini.”
“Mereka mencipta kehidupan mereka tersendiri dengan budaya tersendiri yang menafikan budaya teras negara ini.”
Ini membuktikan, kaum Melayu Islam yang merupakan masyarakat majoriti dalam negara amat lemah berbanding masyarakat minoriti.
“Terlalu lemah bagi sebuah masyarakat majoriti yang sentiasa tunduk dan akur kepada kehendak minoriti supaya tidak mewujudkan identiti Islam dan Melayu sebagai teras jati diri negara ini.”
Ulasnya lagi, “Cuba lihat benar atau tidak penulisan Jawi ditentang oleh kaum minoriti negara ini. Bukankah tulisan Jawi adalah asas kepada tulisan Bahasa Rumi atau Bahasa Malaysia negara ini.”
Menurut Dr Iskandar, apa yang lebih menyedihkan adalah perpaduan negara ini mengambil konteks paradigma Barat. Oleh sebab itulah negara ini masih menggunakan pemikiran penjajah yang membahagi serta mengasingkan kaum. Lantas, menyebabkan Malaysia tidak dapat mewujudkan identiti sendiri.
“Jika negara-negara Asean boleh merangka satu tindakan muktamad dalam penyelesaian penyatuan dalam perpaduan tanpa mengambil konteks Barat, kenapa di negara ini masih berpemikiran penjajah untuk membahagikan masyarakat dalam kepelbagaian di atas integrase yang amat lemah?”
Ujarnya, pendekatan pengasingan kaum ini sememangnya disukai oleh pihak anti Melayu Islam di mana mereka akan menggunapakai kaum dan agama sebagai senjata menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
“Pendekatan ini sememangnya disukai oleh pihak yang anti dominasi Melayu dan Islam di negara ini. Ini adalah kerana isu agama dan kaum akan dimainkan setiap kali dekatnya Pilihan Raya Umum dalam pengertian demokrasi negara ini.”
Kata pensyarah UiTM cawangan Kelantan itu lagi, dasar perpaduan negara tidak akan wujud selagi asimilasi keseluruhan tidak berlaku dan pengasingan kaum masih wujud.
“Tidak akan berjaya dasar perpaduan kepelbagaian negara ini selagi tidak berlakunya asimilasi secara total dan masih meneruskan integrasi dalam konteks segrasi. Apa yang akan berlaku seterusnya ialah ketegangan dan pertikaian konteks budaya, pemikiran dan emosi akan berterusan disebabkan wujudnya perbezaan bukan persamaan di negara ini.”
Justeru, beliau menegaskan, untuk mencapai perpaduan, Malaysia perlu mewujudkan satu identiti nasional, yakni satu bahasa, satu budaya dan satu bangsa dengan memasukkan agama Islam sebagai elemen yang paling penting dalam penerapan identiti nasional negara.
“Matlamat akhir perpaduan adalah mewujudkan satu identiti nasional iaitu satu bahasa, satu bangsa dan satu budaya.”
Hal ini kerana kepelbagaian hanya akan melahirkan masyarakat yang terbahagi dan tanpa agama Islam, ia akan membawa kepada pluralisma dan liberalisma dalam masyarakat.
“Kepelbagaian tidak akan menyatukan masyarakat negara ini. Sebaliknya akan melahirkan satu masyarakat yang lebih terbahagi mengikut kehendak naluri agenda pihak tertentu, seterusnya akan membawa kepada pluralisma dan liberalisma dalam masyarakat negara ini apabila membicarakan perpaduan tanpa menyentuh keutamaan ketertinggian Islam sebagai satu elemen penting dalam penerapan identiti nasional negara ini.”
“Amat menyedihkan apabila warga asing Bangladesh lebih mahir dan pandai berbahasa Malaysia berbanding rakyat bukan Melayu negara ini,” katanya mengakhiri kenyataan.