Tempatan

Melayu Tidak Malas, Sistem, Kapitalis & Kartel Menindas Mereka – Hj Aminuddin Yahya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 30 September 2022 – “Kita sering digambarkan bahawa kegagalan orang Melayu dalam bidang ekonomi adalah disebabkan mereka malas, tidak mahu kerja susah, dan sebagainya. Kenyataan ini dilontarkan bukan oleh orang biasa tetapi oleh pemimpin Melayu sendiri. Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan ini dilahirkan sebagai satu bentuk provokasi atau memang dari perasaan kekecewaan. Persoalannya, apakah benar orang Melayu ini malas?”

Hj Aminuddin Yahya, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memetik kajian yang dibuat oleh seorang panganalisis politik.

Beliau membangkitkan persoalan mengenai tuduhan-tuduhan serta fitnah ke atas orang Malayu yang mengatakan orang-orang Melayu itu malas. Beliau menyangkal fitnah tersebut melalui sebuah hantaran yang dibuat melalui akaun Facebooknya.

Beliau memetik satu laporan kajian yang dijalankan oleh seorang penganalisis politik seperti;

“Semasa menjalankan kajian ke atas kaum tani Melayu… puluhan ribu fail yang saya periksa dari rekod pentadbiran kolonial di Malaysia dan London dari tempoh 1874 hingga 1940 memberikan gambaran berbeza mengenai kemunduran kaum tani Melayu berbanding apa yang dihidangkan oleh para sarjana. Laporan-laporan dan minit-minit.. memberikan bukti yang tidak boleh disangkal tentang kerajinan, kemahiran niaga dan keberanian mengambil risiko penduduk tempatan…

Apa yang menghambat kemajuan penduduk setempat ialah pemimpin-pemimpin feudal yang mengenakan sewa dan mengambil hasil usaha kerja kaum tani semasa era pra colonial; juga semasa era pentadbiran kolonial British yang melaksanakan polisi diskriminasi ke atas kaum tani dan peniaga-peniaga kecil dan mengutamakan kapitalis perladangan.”

Kajian ini, menurutnya, menolak stigma yang melabelkan orang Melayu sebagai kaum yang malas dan tidak boleh berdikari. Beliau tidak menafikan mungkin ada orang Melayu yang memang malas berusaha cuma mengharapkan bantuan pihak tertentu terutama Kerajaan, tetapi untuk mengandaikan ke semua orang Melayu malas, baginya adalah satu kenyataan yang terpesong.

“Kalaulah kita nak lihat kelemahan, semua kaum ada kelemahan tersendiri. Ada kaum yang suka berjudi, kaki mabuk, kaki perempuan dan sebagainya tetapi kenapa Melayu juga yang sentiasa dihina.

Saya sendiri melihat bagaimana di kampung-kampung dahulu seusai sahaja solat subuh orang Melayu kampung, sudah pergi ke kebun getah untuk menoreh. Sesudah habis menoreh mereka akan memproses getah tersebut menjadi getah keping sehingga tengahari. Sekitar pukul tiga petang kita akan melihat pula mereka pergi ke sawah untuk mengerjakan tanaman padi sehingga lewat petang.

Bagi yang ada ternakan, mereka akan menguruskan ternakan mereka. Begitulah kehidupan orang Melayu seharian mencari rezeki secara berdikari. Mereka tidak pernah meminta bantuan dari sesiapa. Kita kena ingat pada sekitar tahun 70-an Malaysia adalah negara pengeluar getah asli terbesar di dunia dan 80% pengusahanya adalah orang Melayu.

Apakah boleh lagi kita kata Melayu itu malas?”

Hj Aminuddin turut menyebut beberapa faktor sebagai punca kegagalan Melayu di dalam bidang ekonomi dan faktor pertama ialah sikap diskriminasi penjaja yang menyekat orang Melayu dari mendapat pelajaran tinggi, menghalang orang Melayu dari tinggal di bandar, tidak menggalakkan Melayu berniaga, menyukarkan orang Melayu mendapat bantuan dana dan sebagainya.

Faktor kedua datang dari sistem ‘warlord’ yang menekan orang-orang Melayu dengan mengaut keuntungan dari hasil titik peluh Melayu dengan cara yang tidak sah dan mencabuli segala polisi yang dibuat untuk membantu usahawan Melayu. Mereka-mereka ini mengenakan pelbagai syarat yang sukar untuk dipenuhi. Pengambilan rasuah yang dipungut oleh tauke-tauke besar dan salahguna kuasa kemudian menjadi amalan yang menindas usahawan Melayu.

Faktor ketiga, sekatan oleh kartel yang mengawal semua barangan perniagaan dari pengeluar sehingga ke peruncit. Oleh kerana mereka mempunyai dana yang besar, mereka mampu menentukan harga dan memaksa usahawan kecil yang majoritinya orang Melayu untuk mengikut kehendak mereka.

Mereka mampu dan boleh memaksa kerajaan membuat sesuatu polisi yang memihak kepada mereka. Ini menyebabkan usahawan Melayu tidak mampu berkembang dan dengan kapasiti yang terbatas ini amat sukar pengusaha Melayu untuk bangun dan bersaing dengan bangsa lain.

“Saya yakin ada faktor-faktor lain yang menyekat perkembangan ekonomi Melayu yang boleh dihurai dengan lebih panjang lebar. Saya juga bukan mahu menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan orang Melayu.

Tujuan saya adalah untuk menyedarkan pihak tertentu dan pihak Kerajaan supaya jangan sewenang-wenangnya menuduh orang Melayu itu dan ini tetapi membiarkan sistem negara di perkotak-katikkan oleh mereka yang tamak haloba. Saya juga mahu menyedarkan orang Melayu bahawa mereka boleh bangun dan berjaya seperti bangsa lain kerana itu asal jati diri mereka.”

Hj Aminuddin menutup hantaran tersebut dengan mengajak orang-orang Melayu mengubah minda dan melihat masa depan dengan penuh keazaman, menguatkan kesatuan dan kerjasama.

“Yang paling penting MEMILIH pemimpin yang benar-benar amanah dan berintegriti.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: