Melayu Paling Ramai Muflis Di Selangor
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 04 Ogos 2022 – Kaum Melayu mencatatkan peratusan tertinggi diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga Mei lalu iaitu sebanyak 10,266 kes daripada jumlah keseluruhan 17,599 kes muflis, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ia diikuti oleh kaum Cina dengan 4,447 kes, India 1,321 kes, lain-lain bangsa 1,516 kes dan 48 kes membabitkan bukan warganegara.
Selain itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi berkata, mengikut pecahan negeri pula, Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 4,164 kes.
“Wilayah Persekutuan kedua tertinggi dengan 2,203, Johor 1,987, Sabah 1,642, Perak 1,278, Kedah 976, Pulau Pinang 949, Sarawak 948, Negeri Sembilan 831, Pahang 776, Kelantan 724, Terengganu 569, Melaka 453 dan Perlis dengan 99 kes,” jelas beliau dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Seterusnya, pecahan mengikut umur merekodkan individu berumur 35 hingga 44 tahun paling banyak muflis iaitu sebanyak 6,681 kes.
Sementara itu, individu berusia 45 hingga 54 tahun pula mencatatkan 4,819 kes, diikuti individu berumur 25 hingga 34 tahun sebanyak 3,171 kes, dan individu 55 tahun ke atas pula merekodkan 2,823 kes.
Kes muflis di Malaysia turut melibatkan individu berumur di bawah 25 tahun dengan rekod 46 kes dan sejumlah 59 kes lagi tidak dapat ditentukan tahap umur mereka, ujar Datuk Seri Dr Wan Junaidi.
Beliau juga turut memaklumkan pecahan peratusan muflis mengikut jantina yang mana kaum lelaki merekodkan peratusan paling banyak muflis iaitu sebanyak 12,970 kes berbanding wanita 4,607 kes dan baki 22 kes lagi tidak dapat dikenalpasti jantinanya.