Melaka Wujudkan Taskforce Tangani Konflik Haiwan Dan Manusia
AYER KEROH, 03 Ogos 2023 – Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan satu ‘taskforce’ bagi menangani konflik antara manusia dan haiwan ternakan yang terbiar dan berkeliaran sehingga mengganggu kehidupan penduduk terutama pengguna jalan raya.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pasukan petugas itu akan membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
BACA JUGA: Negara Perlu Hampir RM400 Bilion Hadapi Impak Perubahan Iklim
BACA JUGA: Kemuncak Fenomena Hujan Meteor Perseids 13 Ogos Ini
BACA JUGA: Penemuan Najis Tikus, 4 Kilang Makanan Diarah Tutup – JKNM
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum masalah berkenaan dan akan meningkatkan kekerapan pemantauan menerusi PBT termasuk mengesan penternak yang gagal mengambil tindakan wajar terhadap haiwan ternakan mereka.
“Kerajaan Negeri menerusi PBT dalam perancangan untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan haiwan berkeliaran selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dibuat pada Mei lalu yang bersetuju supaya masalah ini ditangani dengan lebih bersepadu dan sistematik.”
Jelasnya, kegagalan penternak itu disebabkan ketiadaan Permit Bangunan Sementara (PBS) untuk membina kandang kerana mereka tidak memenuhi syarat lesen yang ditetapkan oleh PBT, sekali gus menyebabkan haiwan ternakan berkeliaran tanpa mengetahui pemiliknya serta menyukarkan tindakan diambil ke atas penternak.
Rais Yasin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai inisiatif mengawal hidupan liar pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, pada Rabu.