Tempatan

Melaka Tambah Had Jemaah Masjid Dan Surau

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

MELAKA, 16 Julai 2021 – Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kerajaan negeri menerusi keputusan mesyuarat EXCO hari ini menetapkan jumlah maksimum jemaah bagi masjid kerajaan, kariah serta institusi adalah 50 orang, manakala surau pula 20 orang.

Sebelum ini, had jemaah maksimum bagi masjid kerajaan, kariah, institusi dan surau adalah seramai 12 orang sahaja.

“Jumlah jemaah di semua masjid dan surau di negeri ini untuk setiap solat fardu ditambah susulan permintaan umat Islam menerusi ahli jawatankuasa masjid masing-masing,” kata beliau.

Bagaimanapun, jumlah jemaah bagi solat Jumaat adalah kekal kepada 250 orang bagi masjid kerajaan, 100 orang (masjid kariah dan institusi) serta 50 orang (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat).

Tambah beliau lagi, “Perubahan kepada ketetapan jumlah maksimum jemaah bagi solat fardu itu berkuatkuasa hari ini sehingga terdapat perubahan baharu yang akan ditentukan kelak.”

“Sehubungan itu, seluruh jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta mematuhi ketetapan baharu ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menerusi Pekeliling JAIM Bilangan 11/2021 bertarikh 31 Mei lalu.”

Mengakhiri kenyataan, Datuk Che Sukri berkata, walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan, JAIM tetap menggalakkan semua masjid dan surau memperdengarkan bacaan Yasin dan doa menghindari COVID-19 yang dibacakan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil sebelum khutbah dibaca oleh khatib bertugas.

“Alunan bacaan itu akan diperdengarkan menerusi alat siar raya masjid untuk membolehkan ahli kariah masjid serta surau turut serta dalam bacaan Yasin serta mengaminkan doa itu.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button