Tempatan

Mekanisme Pengundi COVID-19 Akan Dibincangkan – Menteri Kesihatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SENAWANG, 15 Mac 2022 – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata perbincangan antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan bagi mencari mekanisme terbaik membolehkan pesakit COVID-19 mengundi dalam pilihan raya.

Kenyataan itu dikeluarkan pada sidang akhbar selepas Program Khidmat Komuniti sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Senawang pada Ahad lalu.

Jelasnya, perkara itu perlu dibincangkan agar hak mengundi pesakit COVID-19 tidak dinafikan dan pada masa yang sama tidak memudaratkan individu lain.

“Ya, memang hak mereka untuk mengundi tetapi satu lagi ialah hak rakyat untuk tidak dijangkiti dan tidak dimudaratkan kesihatan mereka. Bagi mengimbangi hak ini, kita kena cari apakah kaedah yang terbaik.”

Beliau berkata terdapat banyak cara boleh dilakukan, namun ia mencabar untuk dilaksanakan.

Menurutnya, ada cadangan untuk mewujudkan satu pusat mengundi khas untuk pesakit COVID-19 termasuk mewujudkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), namun beliau memaklumkan bahawa 96 peratus daripada kes positif sekarang kuarantin di rumah.

Menjadi persoalan juga, jika diwujudkan pusat pengundian untuk individu positif COVID-19, bagaimana mereka mahu pergi ke pusat pengundian tersebut.

“Kalau mereka boleh bawa kenderaan sendiri tidak mengapa tetapi kalau perlu naik kenderaan orang lain, siapa yang mahu bawa mereka. Dia boleh mudaratkan ahli keluarga dan individu lain,” ulasnya.

Mengulas lanjut tentang perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, beliau berkata pihaknya berpuas hati secara keseluruhannya terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun, beliau berpandangan keadaan kesihatan awam di Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19 perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: