Tempatan

MEDAC Peruntuk Geran RM100 Ribu Untuk Koperasi Masjid

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2022 – Peruntukan sebanyak RM100,000 dalam bentuk geran akan disediakan untuk setiap koperasi masjid sebagai galakan untuk memaju dan membangunkan ekonomi setempat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif itu diharap secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi dalam kalangan masyarakat, selain menjadi pusat aktiviti keagamaan.

Inisiatif itu juga seiring dengan matlamat MEDAC yang menyasarkan kira-kira 10 peratus masjid di seluruh negara akan mempunyai koperasi bermula tahun ini.

“Kita mahu membantu koperasi masjid ini yang kita harap masjid bukan saja jadi tempat beribadat, tetapi juga tempat perpaduan ummah serta tempat untuk meningkatkan ekonomi. Untuk melaksanakan hasrat itu, maka kita telahpun memperuntukkan kepada koperasi minimum RM100,000 sebagai geran,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Menurutnya juga, pihaknya turut mengadakan seminar khas untuk jawatankuasa masjid yang dihadiri lebih 300 peserta dari seluruh negara untuk membimbing mereka memajukan koperasi masjid.

Seminar itu juga julung kali diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dihadiri oleh Menteri Agama pada penutupan seminar.

Leave a Reply

Back to top button