Tempatan

MCMC Berjaya Sekat 400 Laman Sesawang Pedofilia Dan Pornografi Kanak-Kanak

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Oktober 2022 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berjaya menyekat sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak setakat Ogos lalu.

Demikian jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff apabila disoal mengenai usaha kementerian bagi mengatasi isu eksploitasi seksual kanak-kanak atas talian disebabkan lambakan aplikasi tidak bermoral dalam Dewan Rakyat kelmarin.

Lapor berita tempatan, beliau mengatakan, tindakan itu adalah hasil kerjasama kementerian berkenaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM.

“Kementerian bekerjasama untuk mengukuhkan dan memperkasakan (penguatkuasaan) iaitu dengan kerjasama rapat PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) terutama berkaitan dengan siber.”

Tambahnya, kementerian mengambil langkah melaksanakan program advokasi, intervensi, pencegahan dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap golongan tersebut.

Ia termasuk menjalankan Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang melibatkan kanak-kanak seluruh negara dan memperkasakan peranan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) untuk mempromosi sekali gus menyampaikan maklumat berkaitan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Atas Talian Terhadap Kanak-Kanak kepada masyarakat setempat.

Kementerian juga telah bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivis sosial untuk menggerakkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: