MB Pahang Sangkal Dakwaan Tanah Rizab Melayu Pahang Berkurang
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2024 – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan kawasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu semakin berkurangan.
Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan, kawasan TRM di Pahang semakin bertambah iaitu daripada 218,326 hektar pada 1955 kepada 444,074 hektar pada 2023.
Peningkatan berlaku sebanyak 12.34 peratus berbanding keluasan negeri Pahang iaitu 3,597,206.68 hektar.
Wan Rosdy menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyatakan tindakan tersebut adalah satu fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan Negeri Pahang.
“Ini kerana, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan Tanah Rizab Melayu terus dipertahankan dan Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan.”
“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dan semaklah kesahihan terlebih dahulu dengan pihak berwajib,” ujar beliau lagi.