Mati Mandatori Dimansuhkan: Bagaimana Pula Mereka Yang Sudah Dijatuhkan Hukuman?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2022 – Haniff Khatri, peguam, menjelaskan dalam sebuah wawancara bersama The Malaysian Insight tentang nasib mereka yang telahpun dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh mahkamah, susulan keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Kerajaan.
Jelas beliau, terdapat beberapa cara bagi menyelesaikan isu banduan yang masih menanti di “Bilik Akhir”, di mana beliau mengemukakan bahawa kesemua banduan terbabit mempunyai hak untuk dilayan secara adil, iaitu sepertimana mereka yang masih belum dijatuhkan hukuman.
Jelasnya, berdasarkan Perlembagaan, hak mereka yang dijatuhkan hukuman mati mandatori sebelum pindaan berlaku terpelihara sepertimana hak mereka yang dituduh di bawah 11 peruntukan (yang membawa kepada mati mandatori) turut terpelihara.
“Perkara 5 Perlembagaan, hak untuk hidup dijamin. Jadi, sekiranya selepas pindaan orang-orang yang dituduh di bawah 11 peruntukan itu mempunyai budi bicara hakim untuk menilai hak mereka hidup, begitu jugalah mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori sebelum ini berhak untuk meminta diteliti hak mereka,” jelas beliau.
“Begitu juga dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjaminkan hak sama rata.”
“Walaupun mereka telah dijatuhkan hukuman sebelum ini, memandangkan pelaksanaan telah digantung, secara adilnya maka mereka sepatutnya diberikan hak sama rata dengan yang akan datang,” tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada masa ini, kesemua banduan “Bilik Akhir” yang menanti pelaksanaan hukuman tersebut telah diberikan sebuah penangguhan ke atas pelaksanaan hukuman mereka.
“Sebenarnya, kesemua mereka telah diberi satu ‘moratorium’, penggantungan pelaksanaan sejak tahun 2018. Kerana seperti yang dinyatakan Kerajaan telahpun cuba untuk mencari satu penyelasaian perkara ini.”
Tambahnya lagi, Kerajaan kini turut melanjutkan ‘moratorium’ tersebut sehingga pindaan-pindaan dan penelitian yang sepatutnya diselesaikan.