Antarabangsa

Masyarakat Dunia Senyap Terhadap Jenayah Israel, Kepimpinan Palestin Sedia Bertindak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RAMALLAH, 06 Jun 2022 – “Kepimpinan Palestin sedia bertindak ke atas peningkatan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin berikutan ketidakupayaan masyarakat dunia memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa,” tegas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas baru-baru ini.

Dalam perbualan telefonnya bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, beliau menggesa Perancis, Pengerusi Kesatuan Eropah, supaya membentangkan inisiatif berkesan untuk mewujudkan sempadan politik bagi menyelesaikan isu Palestin.

Lapor Asharq Al-Awsat, Presiden kedua-dua negara itu turut membincangkan perkembangan terkini dan situasi merbahaya di bumi Palestin selain jalan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua negara dan juga hubungan dengan Kesatuan Eropah di bawah pimpinan Perancis.

“Situasi semasa Palestin tidak boleh disembunyikan atau dibiarkan. Ia adalah kesan ketiadaan sempadan politik dan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin kita. Pihak berkuasa pendudukan Israel juga menafikan kewajipan mereka mengikut perjanjian yang ditandatangani dan resolusi legitimasi antarabangsa,” ujar Mahmoud.

Tambah beliau, kenyataan itu merujuk kepada peningkatan berterusan keganasan zionis Israel terhadap rakyat Palestin di serata tempat, terutamanya serangan berterusan ke atas tapak suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa.

Ulasnya, zionis Israel juga melanggar status quo sejarah secara terang-terangan selain turut mengusir rakyat Palestin daripada kejiranan dan merobohkan rumah mereka.

“Palestin akan terus membina hubungan untuk menggerakkan sokongan antarabangsa dan menamatkan jenayah pendudukan yang telah mencapai tahap yang tidak boleh diterima,” tegas Mahmoud.

Menerusi perbualan tersebut, Emmanuel Macron mengesahkan komitmen Perancis dalam mencapai keamanan dan berunding dengan kedua-dua pihak serta seluruh pihak antarabangsa untuk menghentikan peningkatan jenayah itu dan memberi tumpuan kepada inisiatif yang membawa kepada pencapaian sempadan politik.

Presiden Perancis turut mempelawa Mahmoud Abbas melawat negara itu bagi membincangkan strategi mencapai keamanan dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua negara tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: