Masjid Terbesar Jerman Dibenar Laungkan Azan Pertama Kali Hari Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
COLOGNE, 14 Oktober 2022 – Masjid terbesar di Jerman mendapat kebenaran untuk melaungkan azan pada hari Jumaat buat pertama kalinya mulai hari ini.
Lapor berita Arab, pihak berkuasa meluluskan kebenaran untuk Masjid Pusat Cologne yang terletak di Ehrenfeld, Jerman menyiarkan laungan azan namun perlu mengikut beberapa syarat yang ketat.
Mereka hanya boleh menyiarkan satu laungan azan melalui pembesar suara sehingga lima minit pada hari Jumaat, di antara tengah hari hingga jam 3 petang. Had kelantangan bunyi untuk pembesar suara masjid itu juga ditetapkan pada kadar 60 desibel sahaja.
Walaupun masjid itu baru mendapat kelulusan melaungkan azan pada bulan ini, ramai pihak terutamanya umat Islam Jerman bergembira di atas pengumuman tersebut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Ditib Turki-Islam, Abdurrahman Atasoy yang menguruskan masjid berkenaan berkata, “Kami sangat gembira. Panggilan azan adalah tanda bahawa umat Islam berada di rumah di sini.”
Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker pula menjelaskan bahawa kebenaran melaungkan azan adalah tanda penghormatan buat ramai umat Islam di bandar itu.
Mengulas lanjut, Masjid Pusat Cologne boleh memuatkan seramai 1,200 jemaah dan mempunyai reka bentuk seperti putik bunga yang diapit oleh dua menara. Bandar itu pula merupakan tempat tinggal bagi lebih 100 ribu penduduk Muslim manakala Jerman adalah rumah bagi lima juta orang Islam yang menyumbang kira-kira enam peratus daripada keseluruhan penduduk.