Tempatan

Masjid Tawar Hadiah Motosikal Jemaah Tetap Isyak & Subuh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 26 Februari 2022 – Selepas basikal, pihak Masjid Nur As-Sa’adah Kampung Pengkalan Batu kini menawarkan hadiah motosikal kepada jemaah yang mengimarahkan masjid itu.

Empat buah motosikal Modenas Kriss MR3 akan dihadiahkan kepada jemaah yang bertuah di bawah Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari, lapor Utusan.

Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman berkata, hadiah berjumlah hampir RM16,000 itu akan diberikan kepada mereka yang berjaya menunaikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah selama 40 hari bermula 1 Mac hingga 9 April depan.

“Pemberian ini di bawah Program Istiqamah Subuh dan Isyak Berjemaah 40 Hari yang diadakan khusus untuk jemaah dewasa mengikut empat kategori ditetapkan.”

“Kategori pertama bagi program mengimarah masjid ini khusus anak kariah, kedua kategori terbuka kepada penduduk luar manakala kategori tiga dan empat adalah untuk pegawai syarak, jawatankuasa dan pekerja masjid serta kaum wanita.”

“Biarpun belum dimulakan setakat ini kita sudah mendapat lebih 30 penyertaan bagi keempat-empat kategori yang terbuka kepada semua umat Islam berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen motosikal,” ujar beliau.

Menurutnya, jemaah juga boleh mendapatkan mata tambahan jika berjemaah untuk semua waktu atau menyertai program lain anjuran masjid yang akan meningkatkan peluang kemenangan mereka.

Beliau turut berkongsikan kegembiraannya apabila semakin hari ramai ahli kariah hadir mengimarahkan masjid untuk solat fardu.

“Niat saya bersama-sama ahli jawatankuasa masjid hanyalah untuk penuhkan masjid. Alhamdulillah semakin hari semakin ramai orang kampung yang berjemaah di masjid.”

“Mereka datang bukan sebab motosikal kerana bukan semua akan dapat dan program juga baru diuar-uarkan.”

Harian Metro melaporkan bahawa empat motosikal setiap satu berharga RM4,000 itu disumbangkan individu dermawan dan tidak menggunakan sebarang dana tabung masjid.

Sebelum ini, pihak Masjid Nur As-Sa’aadah menyediakan hadiah 40 buah basikal kepada kanak-kanak sebagai inisiatif galakan solat berjemaah menerusi Program Istiqamah Subuh 40 Hari yang dilaksanakan dari 9 Februari sehingga 20 Mac ini.

Inisiatif yang dijalankan sejak awal bulan ini bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak di dalam kariah itu sebagai usaha melahirkan generasi berakhlak serta berdisiplin, selain menyuburkan nilai-nilai murni.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: