Antarabangsa

Masjid Mesra Alam Pertama Mengikut Ajaran Nabi Muhammad SAW Di Perancis

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PERANCIS, 09 Mei 2022 – Masjid Besar Massy, sebuah masjid mesra alam pertama di Perancis memiliki satu keunikan dari segi penjimatan tenaga dan penggunaan sumber semula jadi secara cekap, lapor The Malaysian Insight.

Pengerusi Majlis Umat Islam di Massy, Mahmoud Ismail mengeluarkan satu kenyataan dengan berkata bahawa, pembinaan masjid tersebut adalah berdasarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W. pada 1,400 tahun yang lalu dan ia mengambil kira prinsip ekologi dalam Al-Quran.

“Nabi Muhammad menggalakkan perlindungan terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan, serta mengelakkan pembaziran,” ujar beliau.

Menurut Agensi Anadolu, masjid yang dibina di pinggir selatan Paris itu menelan belanja €4.5 juta (U$4.74 juta) secara keseluruhan dan telah menarik perhatian orang ramai apabila sebahagian besar struktur kubah dan menara masjid tersebut dibina menggunakan kaca serta tingkap dari lantai hingga ke siling.

Struktur pembinaan masjid tersebut turut menggunakan dinding penabat dua lapisan bagi memastikan sistem pemanasan bawah lantai dan lampu LED berfungsi sebagai sumber tenaga yang efisien serta mempunyai saluran vegetatif bagi menghalang kehilangan tenaga dan haba serta menghasilkan oksigen.

Masjid Besar Massy ini dibina atas sumbangan umat Islam di Massy serta seluruh rakyat Perancis dan telah dirasmikan pada tahun 2019.

Leave a Reply

Back to top button