Tempatan

Masjid Buka Pintu Untuk Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2021 – Mangsa keganasan rumah tangga kini boleh berlindung di Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Perkara ini dimaklumkan oleh Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) seperti dilaporkan portal Berita Harian.

“Mangsa akan diberikan perlindungan sementara dengan syarat sudah membuat laporan polis serta laporan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) JKM, jika perlu. Laporan polis bertujuan menjamin keselamatan mangsa sepanjang tinggal di masjid sebelum dipindahkan ke pusat perlindungan di bawah JPW atau JKM,” ujarnya.

Sepanjang di situ, mangsa akan tinggal di asrama, ditanggung makan minum dan diberi set persalinan pakaian, selimut, tuala serta peralatan kebersihan diri.

Di samping itu, mangsa akan diberi kaunseling dan bimbingan spiritual oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih.

Tambah Datuk Mohd Ajib, bantuan dari Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga disediakan untuk membantu mangsa mengambil tindakan rasional serta sesuai sebaik tamat tempoh transit di masjid.

Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran TTDI menjadi perintis bagi Program Masjid Sebagai Pusat Transit Mangsa Keganasan Rumah Tangga yang dilancarkan dengan kerjasama JAWI dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pada Mei lalu.

Program berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid ini diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira agama.

Sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling dalam usaha membina masyarakat harmoni.

Inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 ini dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: