Masih Perlu Isi Borang Sekiranya Mahu Masuk Malaysia – KKM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 12 Mei 2022 – “Berikutan kemaskini kepada protokol pengembara dari luar negara pada 1 Mei 2022, diingatkan bahawa semua pengembara yang ingin memasuki Malaysia masih dikehendaki mengisi borang pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera.”
Demikian kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu hantaran di Twitter berkenaan protokol terkini penetapan kepada semua pengembara (warganegara dan bukan warganegara Malaysia) yang ingin memasuki Malaysia.
Dalam hantaran tersebut, KKM turut menjelaskan tatacara mengisi borang pra-pelepasan yang terdiri daripada 8 langkah di aplikasi MySejahtera, di mana ia perlu diikuti oleh para pengembara yang tidak lengkap vaksin atau tidak divaksin.
Pengembara juga perlu memuat naik ujian pra-pelepasan terlebih dahulu dalam tempoh dua hari sebelum berlepas dan perlu mengikuti beberapa langkah lain sehingga ke langkah terakhir iaitu berjaya memuat naik keputusan pra-pelepasan tersebut.
Beberapa prosedur lain juga mungkin akan dilalui bergantung kepada keputusan ujian COVID-19, sekiranya positif, proses akan mengikut pengurusan kes positif sedia ada manakala bagi kes negatif pula akan melalui perintah pengawasan dan pemerhatian HSO (Home Surveillance Order) selama 5 hari dan beberapa prosedur lain bergantung kepada keputusan ujian COVID-19 terkini.
Ini berbeza dengan pengembara yang sudah lengkap vaksin kerana tidak perlu melalui langkah-langkah yang sama seperti pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tidak mengambil vaksin.
Pengembara yang sudah lengkap vaksin hanya perlu mengisi semua butiran yang dikehendaki dan menghantar dengan menekan butang hantar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan Kad Pengembara berwarna biru untuk meneruskan perjalanan kerana pengembara yang sudah lengkap vaksin tidak memerlukan kepada ujian pra-pelepasan.