Tempatan

Masalah Kesihatan Mental Kanak-Kanak Meningkat 16.5%

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Julai 2024 – Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendapati statistik masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 15 tahun telah meningkat kepada 16.5 peratus (922,318) pada tahun 2023 berbanding 7.9 peratus (424,000) dalam tahun 2019.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bagi menjawab pertanyaan daripada Dato’ Dr. Zulkafperi Bin Hanapi (Tanjong Karang) berhubung data dan pelan tindakan Kementerian bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak yang jumlahnya hampir mencapai setengah juta kes.

Menurut Dzulkefly, bagi menangani isu yang membimbangkan itu, pihak KKM telah dan sedang mengambil beberapa inisiatif antaranya mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang bertindak sebagai agensi peneraju dan koordinasi pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta program-program kesihatan mental termasuk bagi program kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.

“KKM sedang membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja (CAMH) yang memfokuskan kepada aspek promosi, pencegahan dan penjagaan kesihatan mental golongan kanak-kanak dan remaja secara menyeluruh melalui aktiviti pendidikan, pemerkasaan peranan ibu bapa, rakan sebaya dan ketua komuniti setempat serta peluasan perkhidmatan kesihatan mental mensasarkan kepada kanak-kanak dan remaja melalui platform digital.”

Selain itu, KKM turut melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah yang mana ia merupakan kolaborasi di antara KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.

KKM juga turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 63 hospital dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).

“KKM akan terus komited untuk menangani isu kesihatan mental kanak-kanak ini melalui kerjasama merentas agensi dan usaha secara bersepadu terutamanya bagi memastikan kesihatan mental yang baik dalam kalangan kanak-kanak khususnya,” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: